KUALA LUMPUR, 18 Okt –Kolonel Abdul Halim Ismail mewakili Kementerian Pertahanan Malaysia hadir menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kemalangan di Turki, semalam.

Kolonel Abdul Halim Ismail, Penasihat Pertahanan Kedutaan Malaysia di Turki.
Beliau yang merupakan Penasihat Pertahanan Kedutaan Malaysia di Turki tiba di Afyonkarahisar Devlet Hastanesi (Hospital Negeri Afyonkarahisar) bersama Penolong Penasihat Pertahanan, Leftenan Komander Mohamad Fauzi Jamal pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia).
Pada Rabu lalu, seramai 35 orang rakyat Malaysia terlibat dalam satu kemalangan bas di Afyonkarahisar, kira-kira 300 kilometer dari Ankara. Insiden tersebut telah menyebabkan seorang rakyat Malaysia, Hj Azalan Miswan maut manakala 10 lagi cedera.
Menurut beliau, jenazah Azalan Miswan akan di bawa ke Ankara dan diuruskan mengikut prosedur penerbangan termasuk mengkafan, sembahyang jenazah dan seterusnya persiapan keranda.
“Urusan jenazah untuk dibawa balik ke Malaysia telah dikoordinasikan bersama dengan pihak Dinar Hastanesi (Hospital Dinar) dan Gabenor Daerah Dinar,
“Jenazah akan dibawa ke Ankara dan diuruskan mengikut prosedur penerbangan termasuk mengkafan, sembahyang jenazah dan seterusnya persiapan keranda,” jelas Halim ketika dihubungi.
Beliau turut memaklumkan seramai empat orang mangsa masih ditempatkan di Afyonkarahisar Devlet Hastanesi (Hospital Devlet).

“Penginapan dan makanan kepada mangsa-mangsa kemalangan yang lain telah diuruskan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan Turki” – Kol Halim
“Terdapat empat lagi mangsa kemalangan masih menerima rawatan di dua hospital berlainan iaitu dua di Ozel Parkhayat Hastanesi (Hospital Ozel) dan dua di Siglik Bilimleri Hastanesi (Hospital Siglik),” katanya.
Pada masa yang sama, Halim turut menjelaskan penginapan dan makanan kepada mangsa-mangsa kemalangan yang lain telah diuruskan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan Turki.