KUALA LUMPUR, 14 Okt – Melahirkan anak ketika suami berjauhan merupakan dugaan dan cabaran seorang isteri kepada anggota tentera.
Nurul Huda Abdul Latiff, 28, isteri kepada Koperal Muhammad Azizi Abd Ghani, 30, yang bertugas untuk misi pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6) di Lubnan berkata menjadi cabaran apabila melahirkan anak kedua tanpa suami disisi.
“Cabaran yang saya hadapi tanpa suami ialah dari segi penjagaan anak kedua, dimana saya melahirkan anak tanpa kehadiran suami disisi dan terpaksa mengurus kesemuanya sendiri,” jelasnya.
Menurut Nurul Huda yang bekerja sebagai jururawat di Institut Jantung Negara (IJN), berkata terpaksa meminta pertolongan ibunya yang menetap di Kedah untuk menjaga dan menguruskan anak-anaknya.
Meskipun terpaksa berjauhan bersama anak dan suami tercinta, ibu kepada dua cahaya mata ini bersyukur kerana suaminya tiba ke tanah air dengan selamat pada Rabu lepas.
Sementara itu, suaminya Koperal Muhammad Azizi Abd Ghani turut meluahkan perasaan bangga kerana dapat berkhidmat di Lubnan dalam misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) selama setahun.
“Disitu (Lubnan), saya dapat banyak pengalaman yang tidak berpeluang untuk dirasai antaranya ketika kami menerima banyak ancaman dari penduduk tempatan ketika sedang membuat rondaan” jelasnya kepada pemberita ketika majlis sambutan kepulangan kedua MALBATT 850-6 di Pangkalan Udara Subang pada Rabu lepas.
Walau bagaimanapun, Muhammad Azizi dari Rejimen ke – 2 Kor Armor Diraja (KAD), Port Dickson itu berkata, layanan yang diberikan daripada masyarakat tempatan disana (Lubnan) disambut dengan baik.
Kumpulan kedua MALBATT 850-6 yang diketuai Mejar Abdul Rahim Abu Kassim TUDM terdiri daripada 15 pegawai dan 193 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 8 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada 9 Okt lalu.
Manakala kumpulan ketiga dan keempat akan tiba ditanah air pada 16 dan 22 Oktober ini.
Kontinjen MALBATT 850-6 melibatkan seramai 850 anggota tentera termasuk 30 anggota dari ABDB mula bertugas sejak 24 September tahun lalu.