Home Pertahanan dan Keselamatan Berjauhan dari suami: Lumrah dan dugaan para isteri perwira

Berjauhan dari suami: Lumrah dan dugaan para isteri perwira

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Menjadi isteri seorang anggota tentera bukanlah mudah kerana mereka perlu mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga apabila suami tiada di sisi. Begitulah realiti kehidupan yang perlu diharungi oleh seorang isteri anggota tentera terutamanya apabila suami mereka perlu menggalas tugas demi negara dan berjauhan dari keluarga.

Bagi Nor Satawiah Ibrahim, sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya untuk menjalani kehidupan tanpa suami di sisi yang sering terlibat dengan operasi.

Namun, ibu kepada tiga cahaya mata ini tetap berasa bangga dengan penglibatan suaminya, Sarjan Wan Mohd Nubli Wan Mohd Nasir dalam misi pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) yang berlepas ke Lubnan, semalam.

“Rasa sedih memang ada tapi pada masa yang sama saya berasa bangga dengan suami kerana terlibat dalam misi ke Lubnan,

“Saya sudah boleh menyesuaikan diri kerana suami memang sentiasa membuat persediaan awal untuk kami apabila dia sering terlibat dengan operasi,” jelas Satawiah yang bertugas sebagai jururawat di KPJ Perdana Kota Bharu, Kelantan.

Menurut Satawiah, meskipun ini merupakan kali pertama buat suaminya bertugas di luar negara, beliau telah membuat persiapan dari segi mental dan fizikal memandangkan suaminya yang bertugas di Batalion 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Desa Pahlawan sering terlibat dalam operasi di Semenanjung Malaysia.

“Kepada suami, saya doakan semoga selamat pergi dan balik dan saya bangga dengan penglibatan abang ke luar negara,” kata Satawiah.

Sementara itu, Noor Munirah Abdul Aziz meluahkan perasaan bangga kerana suaminya terpilih untuk menggalas tugas demi negara untuk melaksanakan misi pengaman di Lubnan.

Noor Munirah Abdul Aziz isteri kepada Sarjan Muhammad Yusri Yahaya dari 6 Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Sungai Petani, Kedah – Foto Air Times

Isteri kepada Sarjan Muhammad Yusri Yahaya ini berkata, rasa sedih kerana terpaksa berjauhan tidak dapat dinafikan namun sudah menjadi kebiasaan bagi seorang isteri anggota tentera untuk menjalani kehidupan harian apabila suami terlibat dalam sesuatu operasi mahupun kursus.

“Suami kerap untuk keluar berkursus selama tiga hingga enam bulan tetapi ini merupakan penglibatan paling lama iaitu selama setahun,

“Sepanjang suami berkursus, saya sudah membiasakan diri untuk melakukan semua dengan sendiri. Jadi saya gunakan pengalaman tersebut untuk saya sentiasa kuat sepanjang ketiadaan suami,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-7 di Pangkalan Udara Subang, semalam.

Munirah berharap agar suami serta seluruh anggota tentera yang terlibat dalam misi pengaman di Lubnan untuk sentiasa menjaga diri dan nama baik Malaysia serta menganggap ini sebagai satu dugaan dan pengalaman yang berguna.

MALBATT 850-7 akan mengambil alih tugas MALBATT 850-6 dalam misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL). MALBATT 850-7 akan ditempatkan di 2 penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin. Pasukan ini melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.

KATA KUNCI : LubnanMALBATT 850-7PBBPengaman

Leave a Reply