Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia, Australia setuju tingkat kerjasama pertahanan perangi keganasan

Malaysia, Australia setuju tingkat kerjasama pertahanan perangi keganasan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Malaysia dan Australia bersetuju untuk terus mengukuhkan kerjasama memerangi keganasan antara kedua-dua negara dan berkongsi pengalaman yang dipelajari oleh angkatan tentera masing-masing.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, kedua-dua pihak juga bersetuju meningkatkan peminjaman kakitangan, selain dua biasiswa dari Australia, termasuk biasiswa awam yang baharu.

Ini adalah antara komitmen yang ditekankan pada mesyuarat kedua Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Malaysia-Australia (HLC) di Canberra, Australia pada Rabu yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan rakan sejawatannya dari Australia, Senator Linda Reynolds.

Semasa mesyuarat, Mohamad juga menekankan komitmen Malaysia kepada Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan menyatakan penghargaannya kepada Australia atas komitmennya untuk meningkatkan sokongan kepada jet pejuang F/A Hornet Malaysia.

Mesyuarat yang dihadiri oleh pegawai tinggi dari kedua-dua pihak juga menyatakan puas hati terhadap kemajuan dan usaha berterusan untuk meningkatkan nilai operasional latihan bersama, termasuk menggabungkan unsur-unsur keselamatan maritim, anti keganasan dan keselamatan siber.

Menurut kenyataan itu, Mohd dan Reynolds juga bersetuju bahawa Pandangan ASEAN mengenai Indo Pasifik menekankan tentang prinsip-prinsip ASEAN mengenai kepusatan, keterbukaan, ketelusan, keterangkuman dan menghormati undang-undang antarabangsa, yang akan menyumbang kepada usaha mengekalkan keamanan, kebebasan, dan kemakmuran

Kedua-dua Menteri juga bersetuju untuk menambah bilangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM dipinjamkan kepada Angkatan Pertahanan Australia (ADF) dari dua belas (12) kepada empat belas (14), dan jumlah kakitangan ADF yang dipinjamkan kepada ATM dari tujuh (7 ) kepada lapan (8).

Jawatan baharu Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia secara peminjaman juga akan diwujudkan untuk pegawai menjalani fellowship selama 12 bulan di Australian Air Power Development Centre bermula pada 2020 dan fellowship selama tiga (3) bulan di Australian Sea Power Centre untuk Tentera Laut Diraja Malaysia bermula pada 2020.

Susulan mesyuarat HLC Malaysia-Australia di Butterworth pada 2018, kedua-dua menteri mengulangi tentang pentingnya membangunkan kerjasama industri pertahanan dan bersetuju untuk menubuhkan Kumpulan Kerja Industri Pertahanan dan Inovasi di bawah struktur HLC.

Malaysia dan Australia menjalin kerjasama pertahanan yang kukuh kuat dan lawatan ini memberikan lebih banyak peluang bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua neghara.

Malaysia akan menganjurkan mesyuarat HLC seterusnya pada 2020. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply