Home Pertahanan dan Keselamatan RM 6.012 juta senggara kediaman keluarga tentera Desa Tun Hussein Onn

RM 6.012 juta senggara kediaman keluarga tentera Desa Tun Hussein Onn

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini menyatakan sebanyak RM 6.012 juta telah diperuntukkan bagi melakukan senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Desa Tun Hussein Onn (DTHO).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini,  peruntukan tersebut melibatkan 134 unit RKAT kelas E, F dan G yang telah bermula pada bulan Mei lalu. Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2019.

Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada Peruntukan Khas 2019 yang berjumlah RM 50 juta.

“Sebanyak 1,474 unit dalam tindakan senggaraan dan dinaik taraf di kem-kem tentera seluruh negara menggunakan Peruntukan Khas 2019 sebanyak RM50 juta,

“Sebanyak 8,270 unit lagi akan disenggara dan dinaik taraf secara berperingkat melibatkan tempoh pelaksanaan selama 10 tahun iaitu bermula 2020 sehingga 2030,” jelas pihak Kementerian Pertahanan.

Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) Markas Angkatan Tentera (ATM) telah dilantik sebagai agensi pelaksana manakala 94 Unit Perkhidmatan Kejuruteraan

Angkatan Tentera (UPKAT) ditugaskan untuk memantau dan memastikan projek ini dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu telah mengadakan lawatan RKAT DTHO di Blok E2 pada hari ini. Lawatan beliau adalah bertujuan untuk meninjau proses naik taraf dan senggaraan yang telah dilaksanakan pada Jun lalu dan dijangka akan siap November kelak.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu adakan lawatan ke Blok E2 Rumah Keluarga Angkatan Tentera Desa Tun
Hussein Onn. Foto: Kementerian Pertahanan Malaysia

Taklimat ringkas mengenai perkembangan projek telah disampaikan oleh Kolonel Zulkifli Ahmad, Pegawai Memerintah 94 Unit Perkhidmatan Kejuruteraan Angkatan Tentera (UPKAT). Turut serta  dalam lawatan berkenaan ialah Brigadier Jeneral IR Anhar Anuar, Ketua Pengarah Bahagian  Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP).

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mendapati sebanyak 9,744 unit RKAT ATM telah mengalami kerosakan dan tidak dapat diduduki. Kementerian Pertahanan bersama ATM telah mengenal pasti unit-unit RKAT berkenaan dan dalam tindakan untuk memuktamadkan Blueprint Perumahan 2.0 yang merangkumi program Senggaraan dan Naik Taraf RKAT ATM.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?