PORT DICKSON, 7 Sept – Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Pusat Pengaman Malaysia julung kalinya menganjurkan persidangan ASEAN Peacekeeping Center’s Network (APCN) Ketujuh bermula Isnin lepas.
Menurut Markas ATM dalam kenyataan di sini hari ini, persidangan lima hari itu yang dihadiri 24 delegasi dari negara ASEAN, diadakan bertujuan mewujudkan rangkaian kolaborasi antara pusat latihan pengaman serantau di antara negara-negara ASEAN.
“Aktiviti persidangan APCN Ketujuh menumpukan perkara yang merangkumi ASEAN Security Architecture and Its Importance To Malaysia; Malaysian Medical Team Experience and Challenges; Action Plan for the Peacekeeping Partnership; APCN Exercise and Wayforward beyond 2024 dan Women, Peace and Security Presentation by Malaysia as ASEAN Centre Of Excellence For Gender Mainstreaming,” menurut kenyataan itu.
Persidangan dirasmikan Ketua Staf Markas ATM Left Jen Datuk Kamarulzaman Mohd Othman pada 3 Sept lepas.
Selain persidangan tersebut, peserta juga turut dibawa melawat ke sekitar Melaka dalam usaha memperkenalkan lokasi menarik di Malaysia.
Acara penutup semalam disempurnakan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan pada acara itu, bendera penganjuran APCN diserahkan kepada Vietnam sebagai simbolik sebagai negara berkenaan yang akan menjadi hos APCN Ke-8 pada tahun depan. – Bernama