Home Pertahanan dan Keselamatan Suasana pilu iringi pemergian seorang komando

Suasana pilu iringi pemergian seorang komando

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Suasana pilu menyelubungi perkarangan Masjid Al-Fatih di Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur, sebaik sahaja van jenazah yang membawa Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya beredar meninggalkan masjid pada jam 2.50 pagi.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan sebelum dibawa ke Ipoh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Tambun, Ipoh pada pagi nanti.

Urusan pengebumian diuruskan sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jenazah Allahyarham Mohd Zahir diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira pada pukul 9.43 malam dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH2639. Pesawat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.06 tengah malam tadi.

Ketibaan jenazah disambut kira-kira 1,500 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan rapat dan anggota tentera yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Sejurus tiba, jenazah dibawa ke Kem Wardieburn untuk urusan selanjutnya.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Pegawai-pegawai kanan Tentera Darat.

Semalam Air Times melaporkan, Mejar Mohd Zahir, 36, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 9.20 pagi di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Allahyarham dikejarkan ke hospital selepas tercedera akibat terkena tembakan semasa melakukan demonstrasi bersempena Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia.

Allahyarham yang juga anak kepada pelakon veteran, A R Badul, 70, atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie meninggalkan seorang balu dan tiga anak termasuk dua daripada perkahwinan terdahulunya.

Rentetan peristiwa tersebut, pihak Tentera Darat Malaysia akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca tragedi berkenaan selepas proses pengebumian pegawai 11 Rejimen Gerak Khas, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya selesai.

Related Articles

Leave a Reply