Home Pertahanan dan Keselamatan Pasukan MALBATT 850-6 berada dalam keadaan selamat

Pasukan MALBATT 850-6 berada dalam keadaan selamat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Pasukan Pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6) berada dalam keadaan selamat berikutan serangan balas antara tentera Israel dengan Hezbollah di sempadan Lubnan pada Sabtu.

Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataannya berkata, kejadian berlaku sekitar jam empat petang itu hanya memberi kesan kepada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) yang berada di sempadan Israel-Selatan Lubnan (Blue Line) sahaja.

“Kawasan terjejas tidak melibatkan kawasan penugasan Batalion Malaysia (MALBATT 850-6),” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, pihak Markas UNIFIL telah mengeluarkan arahan kepada semua batalion negara-negara termasuk Malaysia yang terlibat dalam MALBATT 850-6 supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan

Situasi bagi MALBATT 850-6 masih dalam keadaan terkawal dan selamat serta melaksanakan rutin operasi yang meliputi rondaan di sekitar kawasan tanggungjawab dan kawalan kem seperti biasa, menurut kenyataan itu.

Pada 6 Sept 2018, kumpulan pertama pasukan pengaman MALBATT 850-6 berlepas ke Lubnan bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selama setahun.

Pasukan MALBATT 850-6 dianggotai 850 anggota tentera termasuk 30 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai kewangan Kementerian Pertahanan.

Related Articles

Leave a Reply