SUBANG, 30 Ogos – Sebanyak 55 buah pesawat dari pasukan pertahanan dan agensi-agensi penguatkuasaan negara akan mengegarkan ruang udara Putrajaya bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-62, esok.
Kesemua pesawat terbabit akan menjayakan segmen perarakan udara (flypast) Agensi Penguatkuasa Kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia.
Menurut Ketua Operasi Flypast Merdeka 2019, Leftenan Kolonel Azril Omree Dato’ Hasbullah TUDM berkata, segmen penerbangan tersebut turut menyaksikan kehadiran pesawat-pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Sebanyak 3 buah pesawat CN-235, 3 pesawat C-130H dan 3 pesawat A400M terlibat dalam segmen ini,” kata Azril yang juga merupakan Pegawai Memerintah No 20 Skuadron ketika ditemui di Pangkalan Udara TUDM Subang, semalam.
Penerbangan lintas langsung ini juga turut melibatkan beberapa buah pesawat TUDM yang laain seperti Pilatus PC-7, helikopter EC-72, serta pesawat pejuang seperti Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet serta Bae Hawk 108/208.
Walaupun segmen penerbangan lintas hormat ini didominasi oleh TUDM, segmen ini juga turut melibatkan aset udara cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang lain seperti helikopter AgustaWestland AW109 LOH dari Tentera Darat Malaysia serta helikopter Superlynx dan Fennec dari Tentera Laut Diraja Malaysia.
Selain ATM, segmen ini turut menyaksikan kehadiran pesawat-pesawat dari agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurut Azril, segmen perarakan agensi penguatkuasaan dan ATM mungkin tampak mudah tetapi ianya merupakan satu misi penerbangan yang berbahaya. Walaupun begitu, cabaran ini dapat diatasi melalui koordinasi dan kerjasama semua pihak.
“Ianya (penerbangan lintas) merupakan satu penerbangan yang bahaya. Latihan dan taklimat induk di antara kesemua pihak yang terlibat telah berjaya mengatasi cabaran ini dengan lebih sistematik,” katanya.
Menyentuh cabaran yang dialami sepanjang latihan dan persiapan di Putrajaya, beliau menyatakan faktor cuaca turut memberi cabaran kepada peserta penerbangan lintas hormat.
“Cuaca turut memberikan cabaran besar kepada kami terutamanya keadaan udara yang berjerebu dan kehadiran awan komulonimbus (awan ribut) di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia,
“Kami berdoa agar cuaca cerah, tidak berjerebu dan tidak berawan pada 31 Ogos nanti,” ujar Azril.