Home SemasaGlobal Wanita Iran terima hukuman, seludup teknologi peluru berpandu AS melalui Malaysia

Wanita Iran terima hukuman, seludup teknologi peluru berpandu AS melalui Malaysia

by M.Daim

WASHINGTON, 10 Ogos –  Seorang wanita mengaku bersalah atas tuduhan menyeludup barangan teknologi terkawal dari Amerika Syarikat (AS) ke Iran.

Negar Ghodskani, 40 tahun mengaku bersalah ketika sesi perbicaraan di Mahkamah Persekutuan di Minnesota.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pengakuan bersalah oleh warga negara Iran yang didapati terlibat dalam kegiatan penyeludupan barangan teknologi terkawal melalui sebuah syarikat di Malaysia.

“Pada tahun 2009, Ghodskani telah bersubahat dengan seorang lagi warganegara Iran, Alireza Jalali serta yang lain untuk menubuhkan syarikat Green Wave Telecommunication Sdn Bhd (Green Wave) di Kuala Lumpur sebagai proksi kepada Fanavar Moj Khavar (Fana Moj),

“Ghodskani kemudiannya memalsukan identiti beliau sebagai pekerja Green Wave untuk berhubung dengan syarikat sasaran di AS. Beliau telah melakukan rundingan dan pembelian barangan tersebut telah dilakukan melalui Green Wave,

“Barangan yang diterima kemudiannya dibungkus semula sebelum dieksport secara haram keluar dari Malaysia ke Fana Moj di Tehran,” jelas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

 

Menurutnya, kes ini telah disiasat oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Jabatan Kawalan Eksport AS, dan Badan Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri AS.

Ghodskani telah disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh Jabatan Kewangan Amerika Syarikat pada tahun 2017 kerana terlibat dalam aktiviti pembiayaan, sokongan peralatan serta teknologi kepada pihak tentera Iran.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat turut mendedahkan rakan subahat Ghodskani, Jalali telah dijatuhkan hukuman pada Mac lalu. Jalali telah ditahan di Lapangan Terbang John F Kennedy, New York pada Jun 2017 selepas tiba dari Malaysia. Jalali telah didakwa memalsukan invois bagi menyeludup keluar peralatan tersebut ke Iran.

Teknologi yang diseludup dari Amerika Syarikat ke Iran merupakan komponen dan peralatan untuk sistem panduan pada peluru berpandu. Foto hiasan.

Ghodskani telah ditahan pada tahun 2017 di Australia sebelum diekstradisi ke Amerika Syarikat.

Menurut Iran Watch, pihak Greenwave, Ghodskani dan Jalali telah didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram, penyeludupan dan bersubahat dalam mencuri teknologi kawalan Amerika Syarikat.

“Pada Ogos 2010 sehingga Mac 2012, Ghodskani dan Jalali telah membeli komponen dan peralatan analog yang digunakan untuk tujuan sistem panduan pada peluru berpandu,

“Sebanyak empat penghantaran telah dilakukan oleh Green Wave ke Tehran. Sebanyak US$ 65,000 telah dibayar oleh syarikat tersebut kepada dua pembekal di AS,” jelas Iran Watch.

Fana Moj merupakan syarikat yang membekalkan perkhidmatan penyiaran. Fana Moj turut menawarkan perkhidmatan telekomunikasi melalui anak syarikatnya, Rastafann.

“Kedua-dua syarikat tersebut mempunyai hubung kait dengan pihak Kementerian Pertahanan Iran dan menjadi ejen untuk melakukan perolehan aset dari luar,

“Rastafann turut bertindak sebagai  syarikat SAIG yang tersenarai dalam sekatan PBB,” kata Iran Watch.

Rastafann membekalkan radar kepada SAIG dan sistem komunikasi kepada tentera Iran. SAIG merupakan syarikat yang membekalkan sistem peluru berpandu kruis kepada Iran.

Related Articles

Leave a Reply