Lumut, 24 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan bersama seorang tekong dan enam awak-awak warga Indonesia, kira-kira 28 batu nautika dari tenggara Pulau Jarak, kira-kira pukul 8.40 pagi semalam.
Bot berkenaan dipercayai sudah tiga hari berada di laut dan turut dirampas pelbagai jenis ikan seberat 100 kilogram.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Wan Mat Bin Wan Abdullah berkata bot nelayan asing itu dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Negeri Perak.
“Bot tanpa nombor pendaftaran bersama awak-awak termasuk tekong warga Indonesia ditahan ketika sedang menangkap ikan kira-kira 28 batu nautika dari tenggara Pulau Jarak,
“Setelah diperiksa mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen berkaitan bot dan kesemua enam awak–awak tiada pengenalan diri yang sah. Kes akan disiasat dibawah seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan Malaysia.” jelasnya.
Wan Mat berkata bot bersama tekong dan awak – awak yang berusia antara 20 tahun hingga 46 tahun kemudian diiringi balik ke Pusat Tahanan Vesel Kampong Acheh dan tiba pada jam 6.00 petang untuk siasatan lanjut.
“Tangkapan ini adalah tangkapan terbesar Maritim Negeri Perak yang melibatkan bot nelayan Indonesia,” jelas Wan Mat dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menjelaskan Maritim Malaysia akan bertindak tegas kepada mana-mana bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan dan melakukan pencerobohan di zon tangkapan ikan.