Home Pertahanan dan Keselamatan Perolehan dron dari AS dapat persetujuan Jemaah Menteri – Liew

Perolehan dron dari AS dapat persetujuan Jemaah Menteri – Liew

by Bernama

TAIPING, 14 Jun – Dua belas buah dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) ScanEagle bernilai hampir RM80 juta yang diperoleh dari Amerika Syarikat (AS), telah mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong berkata kesemua dron itu diperolehi, tanpa melibatkan sebarang kos daripada kerajaan Malaysia kerana ia merupakan program ‘Inisiatif Keselamatan Maritim’ (MSI) yang dibiayai sepenuhnya oleh AS.

“Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan (mengenai perolehan dron) sebelum ini sudah jelas dan ia telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri.

“…dasar luar negara kita adalah kita berbaik (mengadakan kerjasama dan hubungan ketenteraan) dengan AS dan China tanpa memihak kepada negara tertentu sahaja,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 480 anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) zon Taiping di sini, hari ini.

Liew diminta mengulas kenyataan anggota jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan yang mendakwa, Malaysia berkompromi dengan agenda imperialis AS apabila memperoleh 12 buah dron dari negara terbabit.

Sementara itu, Liew berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan terbaharu mengenai isu aktiviti pencerobohan membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan, minggu hadapan.

Katanya kementerian turut menjalankan siasatan dalaman ke atas pihak yang bertanggungjawab terlibat, dengan aktiviti salah guna itu.

“Kami akan jalankan siasatan dan juga ambil tindakan ke atas mereka yang melakukan kesalahan, selain laporan polis yang akan dibuat selepas ini dan sekiranya terdapat elemen rasuah (dalam aktiviti pencerobohan), kita akan laporkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Kementerian mengambil pandangan yang serius memandangkan pelbagai aktiviti termasuk ‘land swap’ atau pencerobohan tanah ke atas tanah milik kementerian kerana ini adalah sebahagian daripada kepentingan negara, bagi memastikan tanah strategik negara dipelihara dan tidak diceroboh sewenang-wenangnya,” katanya.

Selasa lalu, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata sebanyak 16 lokasi tanah milik kementerian itu dikenal pasti diceroboh membabitkan aktiviti pertanian, pembinaan struktur, pembinaan rumah setinggan dan rumah ibadat, serta pembalakan haram.

Kenyataan itu memaklumkan pencerobohan tanah oleh orang awam boleh memberi pelbagai implikasi termasuk kerajaan mengalami kerugian – Bernama

Related Articles

Leave a Reply