Home Pertahanan dan Keselamatan Demonstrasi PASKAL tarikan utama Hari Terbuka Armada Lumut

Demonstrasi PASKAL tarikan utama Hari Terbuka Armada Lumut

by Air Times News Network

LUMUT, 20 April – Hari Terbuka Armada Lumut (HTA Lumut) telah dirasmikan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Rusli Ramli pada hari ini.

Pameran bersempena Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia ini adalah berkonsepkan santai dan lebih mengutamakan keupayaan, kemahiran ‘Navy People’ serta aset TLDM.

“Buat pertama kalinya, TLDM lebih menumpukan demonstrasi dari Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan penampilan khas jet pejuang dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)”, kata Rusli kepada pemberita selepas merasmikan pameran.

Beliau menambah, demonstrasi PASKAL pada tahun ini amat berbeza dari tahun sebelumnya dimana ia dilaksanakan berhadapan bangunan Markas Armada Barat.

Demonstrasi tersebut sekaligus membuktikan keupayaan dan kesiagaan PASKAL dalam menangani ancaman keselamatan kepada negara.

Pada masa yang sama, Rusli meluahkan rasa gembira apabila melihat keterujaan dari para pengunjung dengan demonstrasi yang disediakan.

“Saya menjangkakan kehadiran pengunjung akan terus meningkat dengan adanya format demonstrasi yang baru ini,” ujar beliau.

Antara aktiviti lain yang menjadi tumpuan pengunjung adalah persembahan udara dari helikopter FENNEC dan SUPER LYNX dari Cawangan Udara TLDM.

Selain daripada itu, HTA Lumut turut diserikan lagi dengan penampilan khas dari TUDM iaitu F/A – 18D Hornet yang melakukan penerbangan lintas (flypast) di ruang udara pangkalan Lumut.

HTA Lumut akan berakhir pada hari esok, 21 April 2019.

 

Related Articles

Leave a Reply