Home Pertahanan dan Keselamatan Panglima Tentera Udara dan isteri anjurkan Sambutan Malam Nisfu Sya’ban, zahirkan keprihatinan kebajikan anggota dan veteran ATM

Panglima Tentera Udara dan isteri anjurkan Sambutan Malam Nisfu Sya’ban, zahirkan keprihatinan kebajikan anggota dan veteran ATM

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 21 Apr – Majlis Sambutan Malam Nisfu Sya’aban, Doa Selamat dan Kesyukuran anjuran Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi bin Buang TUDM dan isteri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Puan Sri Tengku Muhaini binti Sultan Ahmad Shah telah diadakan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, semalam.

Majlis dimulakan dengan dengan solat fardu maghrib secara berjemaah dan seterusnya solat sunat hajat serta bacaan yaasin yang diimamkan Mejar Hj Muntaha bin Hj Salleh di Masjid Abdullah bin Zubair. Majlis diteruskan dengan ceramah agama oleh Ustaz Uda bin Kassim dengan topik Taubat.

Di Dewan Angkasaraya, Pangkalan Udara Kuala Lumpur, majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada 90 orang anak-anak Sekolah Tahfiz Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM).

Dalam majlis yang sama, Badan Amal Kasih Sayang Malaysia (BAKASA) yang dipengerusikan oleh Tengku Puteri Puan Sri Hjh Tengku Muhaini binti Sultan Ahmad Shah telah menyampaikan sumbangan 20 buah kerusi roda kepada Presiden Persatuan Veteran ATM, Kapten Datuk Sharuddin bin Hj Omar.

Sumbangan kerusi roda oleh BAKASA adalah untuk kegunaan ahli-ahli Persatuan Veteran ATM yang kurang upaya. Sumbangan ini adalah sebahagian daripada Projek Khas Kerusi Roda di bawah naungan BAKASA yang bertujuan memberikan harapan dan kebebasan kepada individu yang kurang upaya dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

BAKASA yang merupakan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan ini turut berharap agar orang ramai sedar akan keperluan individu kurang upaya. Organisasi ini juga menggalakkan individu dan badan korporat untuk menyumbang bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.

BAKASA menyasarkan lebih kurang 1,000 kerusi roda kepada mereka yang memerlukan dalam masa yang terdekat.

Turut hadir di majlis ini adalah Yang Berbahagia Cik Puan Muda Pahang, Julita Aisyah; Kerabat-kerabat Bergelar serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM.

Terdahulu satu upacara memotong kek turut diadakan sebagai meraikan hari ulang tahun perkahwinan Panglima Tentera Udara dan isteri.

GALERI GAMBAR:

Related Articles

Leave a Reply