Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada rancangan bina pos kawalan sempadan – Panglima Angkatan Tentera

Tiada rancangan bina pos kawalan sempadan – Panglima Angkatan Tentera

by Noor Sheila Amin

KOTA SAMARAHAN, 13 Feb – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata ATM tidak merancang untuk membina pos kawalan sempadan termasuk penambahan anggota di Kampung Danau Melikin, walaupun berlaku pencerobohan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) ke sempadan negara itu walaupun tercetusnya insiden penahanan penduduk kampung oleh anggota TNI.

Memetik laporan Utusan Borneo, Zulkifli berkata, kaedah terbaik yang dilakukan tentera kedua-dua negara adalah menjalin kerjasama melalui pos terkoordinat, iaitu melibatkan koordinasi antara kedua-dua pihak dalam menjaga kawalan sempadan di situ sekali gus menangani isu yang timbul.

“Dari segi perundangan, jika berlaku perlanggaran sempadan negara maka ia adalah satu kesalahan. Baik di kalangan anggota tentera Malaysia dan Indonesia yang hendak masuk ke sempadan jiran masing-masing juga harus mendapatkan kebenaran.

“Namun untuk membina pos kawalan sempadan, kita kena faham dari segi faktor ekonomi di mana kalau kita buat pos di situ, Indonesia juga harus membuat pos mereka agar kita dapat saling koordinat,” katanya.

Pada masa sama, Zulkifli berkata insiden membabitkan anggota TNI di sempadan Danau Melikin juga telah dibincangkan antara ATM dan TNI di bawah Jawatankuasa Bersama.

Katanya, perbincangan dalam Jawatankuasa Bersama itu diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun, di mana di pihak ATM diwakili Panglima 1 Divisyen.

“Kita kena faham, kedua-dua negara mengalami masalah yang sama, jadi jalan terbaik adalah sentiasa berbincang di mana perkara yang melanggar peraturan, kita kena ambil tindakan dan begitu juga di pihak Indonesia.

“Oleh itu, perbincangan secara rasional ini sangat penting supaya situasi menang-menang berlaku…kita tidak boleh kekitaan sangat.

“Insiden itu (penahanan penduduk Kampung Danau Melikin oleh anggota TNI) memang berlaku dan Indonesia juga mengakuinya, di mana Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra juga telah menghantar nota bantahan dan kita serahkan kepada TNI sendiri untuk menyelesaikan masalah membabitkan anggota mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Makan Tengah Hari sempena lawatan sulungnya ke Kem Muara Tuang di sini, semalam yang turut diiringi Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose dan Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang.

 

Related Articles

Leave a Reply