Home Pertahanan dan Keselamatan Perintah berkurung di ESSZONE dilanjut sehingga 25 Februari

Perintah berkurung di ESSZONE dilanjut sehingga 25 Februari

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 10 Feb – Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 25 Februari ini.

Perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran, seperti dilaporkan Bernama.

Omar berkata orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan itu antara 6 petang dan 6 pagi pada tempoh tersebut.

“Perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE, ujarnya.

Beliau berkata perintah berkurung itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply