Home Pertahanan dan Keselamatan TUDM, UPNM tandatangani MoA bagi pengajian baharu Pegawai Kadet Juruterbang

TUDM, UPNM tandatangani MoA bagi pengajian baharu Pegawai Kadet Juruterbang

by Air Times News Network

ALOR SETAR, 23 Jan – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini menjalinkan kerjasama dalam memperkenalkan konsep pengajian yang baharu di UPNM bagi pengambilan Pegawai Kadet (Juruterbang) TUDM.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan berkata konsep pengajian ini juga melibatkan melibatkan Pegawai Kadet dari Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang mewakili Panglima Angkatan Tentera bersama Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Dato’ Abdul Halim Hj Jalal di Kolej Tentera Udara (KTU), Alor Setar, Kedah.

“Program yang dinamakan sebagai 2u2i ini membawa maksud 2u ( 2 tahun pengajian di UPNM) manakala 2i ( 2 tahun Latihan Industri),” kata kenyataan itu.

Manakala Pegawai Kadet yang terpilih akan menjalani fasa akademik selama 2 tahun di UPNM dan seterusnya 2 tahun lagi fasa latihan industri iaitu (fasa latihan penerbangan) di KTU.

Untuk pengambilan pertama Pegawai Kadet (Juruterbang) pada kali ini, seramai 23 orang dari Program Asasi Sains 2017 telah terpilih.

“Seramai 17 orang dari TUDM, 4 orang TDM dan 2 orang TLDM telah terpilih untuk memulakan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Penerbangan yang telah memulakan pembelajaran (fasa 2u) pada September 2018 lepas.

“Kesemua Pegawai Kadet ini dijangka menamatkan pengajian mereka pada Oktober 2022. Seterusnya mereka akan ditauliahkan sebagai pegawai TUDM/ATM berpangkat Lt Muda serta dianugerahkan sayap penerbangan oleh Yang di-Pertuan Agong bersama Ijazah Sarjana Muda Penerbangan mereka” katanya.

Faktor utama pengajian ini diperkenalkan untuk menjimatkan masa dalam menganugerahkan sayap penerbangan kepada setiap Pegawai TUDM/ATM pada usia lebih muda.

“Sebelum ini, purata umur Pegawai TUDM/ATM dianugerahkan sayap penerbangan adalah pada usia 26 tahun.

“Ianya kerana setiap mereka perlu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda mereka di UPNM atau IPTA terlebih dahulu sebelum dipilih untuk mengikuti latihan penerbangan di KTU.

Dengan pelaksanaan program ini dijangkakan usia Pegawai TUDM/ATM dianugerahkan sayap penerbangan adalah pada usia 23 tahun.

Turut hadir Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Kamarulzaman Mohd Othman, Timbalan Naib Canselor UPNM (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Emeritus Dato‘ Dr. Tengku Mohd Tengku Sembok serta Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

 

Related Articles

Leave a Reply