Home Pertahanan dan Keselamatan 18 warga asing diburu oleh ESSCom

18 warga asing diburu oleh ESSCom

by Air Times News Network

LAHAD DATU, 6 Jan – Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) hari ini mengeluarkan senarai nama serta gambar terkini 18 lelaki warga asing yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam beberapa jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Menurut laporan Bernama yang memetik kenyataan Komander ESSCom, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata, senarai itu turut menyenaraikan tujuh individu terbaharu dan kesemua 18 lelaki tersebut dikehendaki bagi membantu ESSCom menyelesaikan beberapa isu jenayah rentas sempadan.

Tujuh individu terbaharu dalam senarai tersebut adalah Salip Mura Kayawan, Sibih Pisih, Titing Alihasan@Iyot Panday, Roger Saji, Long Sahirin, Jul Aksan Abdurajan@Halimaw dan Ben Tatoh.

“Setelah kita melakukan pengemaskinian dan penyiasatan terbaharu termasuk mendapatkan pengesahan daripada pasukan keselamatan Filipina, 18 individu dikehendaki telah disenaraikan kerana terbabit dan aktif merancang beberapa jenayah rentas sempadan sepanjang tahun lepas di ESSZone,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah, kesemua 18 individu terbabit masih belum ditahan oleh mana-mana pihak berkuasa.
Antara individu lain dikehendaki ialah Hatib Hajan@Sawadjaan, Apo Mike@Majan Sahidjuan, Idang Susukan@Abu Jihad, Al Munjir Yadah, Raden Abuh, Marajan@Manajan Asiri, Sangbas@Anjang, Hamsan Pakkan@Black Cobra, Sabri Madrasul@Salip Jul, Julajun Hasan dan Tampi@Bunju.

ESSCom telah menyenaraikan 45 individu dikehendaki sejak tahun 2016. Menurut, Hazani, sebahagian daripada nama-nama tersebut telah dikeluarkan dari senarai.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 29 individu telah dikeluarkan daripada senarai dikehendaki kerana ditembak mati atau menyerah diri kepada pihak berkuasa Filipina,” jelas Komander ESSCom.

Beliau turut meminta orang ramai untuk berkerjasama dengan pasukan keselamatan dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berwajib bagi mengesan kedudukan penjenayah terbabit agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan individu yang disenaraikan di atas, boleh menghubungi Bilik Gerakan ESSCom di talian 089-863181 atau WhatsApp 019-230 5909 atau ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Related Articles

Leave a Reply