KOTA SAMARAHAN, 4 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menjalin kerjasama erat dengan pihak berkuasa berkaitan di Filipina dan Indonesia untuk mempertingkatkan kawalan di perairan negara.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, ia memandangkan masih banyak berlaku pencerobohan di perairan negara terutama oleh nelayan asing.
“Kita telah kehilangan banyak hasil laut disebabkan pencerobohan nelayan asing.
“Oleh itu, kita akan bekerjasama dengan Filipina dan Indonesia untuk mengadakan rondaan bersama bagi mengelakkan kecurian hasil atau penyeludupan dan sebagainya melalui perairan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di Kem Muara Tuang di sini, semalam.
Turut hadir Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain.
Selain itu, Mohamad berkata kementeriannya juga mempunyai kerjasama yang baik dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dalam mengawal sempadan darat terutama antara Sarawak dan Kalimantan Barat, Indonesia.
“Kerjasama kita semakin dipertingkatkan dan lebih banyak pos sempadan juga dibuka membabitkan pihak tentera kedua-dua negara,” katanya.
Mengulas mengenai penemuan senjata api di sekitar sempadan Malaysia-Thailand, beliau berkata perkara itu telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan.
“Ini sudah kita laporkan kepada polis dan mereka akan menjalankan siasatan penuh, misalnya siapa yang bawa dan apa tujuannya dan sebagainya.
“Setakat ini, kami masih menunggu laporan daripada polis,” jelasnya.
ATM baru-baru ini berjaya membongkar satu lokasi menempatkan senjata api yang membawa kepada penemuan tiga laras senjata jenis AK-47 di Tanah Felcra Kemajuan Gemang, Jeli, Kelantan.