Home PolitikBarisan Nasional “Saya tak kempen. Saya nak kempen untuk siapa?” – Dr Wan Azizah

“Saya tak kempen. Saya nak kempen untuk siapa?” – Dr Wan Azizah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan lawatannya ke Julau, Sarawak Selasa lepas adalah atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau sekaligus menolak dakwaan kedatangannya ke negeri itu adalah untuk berkempen bagi pemilihan PKR.

Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR berkata beliau pada asalnya dijadualkan ke Sarawak selepas sesi pemilihan parti, namun tarikh pemilihan itu ditunda ke 10 Nov.

“Saya tak kempen. Saya nak kempen untuk siapa. Saya pun tak bertanding, malah ia bukannya pilihan raya umum, ia sebuah negeri pembangkang, dan kami mahu menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan tidak melakukan diskriminasi.

“Saya (sepatutnya) pergi ke sana selepas pemilihan parti, tetapi secara kebetulan ia ditunda,” katanya kepada media selepas program lawatan ke Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, di sini, hari ini.

Semalam, Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya, berkata lawatan Dr Wan Azizah tidak kena pada masanya, kerana menjelang pemilihan terakhir PKR di negeri tersebut.

Latheefa berkata, Dr Wan Azizah sepanjang lawatan itu turut dilihat diiringi Larry Sng Wei Shien yang sebelum ini secara terbuka mengumumkan menyokong Rafizi Ramli, calon timbalan presiden parti.

Beliau mendakwa lawatan Dr Wan Azizah ke Julau turut membabitkan penggunaan jawatan rasmi beliau dalam Kabinet, selain aset kerajaan, termasuk pengumuman peruntukan RM100,000 untuk membina jalan raya di kawasan itu.

Menurut Latheefa, pengumuman itu dibuat dengan kehadiran Sng yang juga calon bertanding bagi Ketua Cabang Julau dan Anggota Majlis Pimpinan PKR Pusat.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply