Home Pertahanan dan Keselamatan Konsep pertahanan menyeluruh harus diperkukuh – Menteri

Konsep pertahanan menyeluruh harus diperkukuh – Menteri

by Nurulhuda

KOTA SAMARAHAN, 3 Nov – Konsep pertahanan menyeluruh (Hanruh) harus diperkukuh dan dilaksanakan secara lebih efektif, kata Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Beliau berkata melalui konsep itu ia dapat memupuk kesedaran rakyat terhadap peranan dan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menyedarkan rakyat bahawa pertahanan negara adalah tanggungjawab bersama.

“ATM sudah ada doktrinnya (Hanruh) tetapi rakyat mungkin tidak sedar kerana sebelum ini ia hanya di atas kertas dan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“ATM perlu lebih mendekati rakyat supaya rakyat lebih memahami tugasan dan tanggungjawab ATM untuk membolehkan rakyat mencintai ATM,” kata beliau ketika bercakap kepada media ketika melakukan lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat dan 1 Divisyen Kem Muara Tuang di sini pada Jumaat.

Mengenai kebajikan anggota ATM dan Mindef, Chin Tong berkata Kementerian Pertahanan akan memberi lebih tumpuan untuk memperbaiki kebajikan mereka dalam jangka masa panjang.

“Ia penting untuk menaikkan moral dan semangat warga ATM kerana dalam ATM yang penting ialah moral dan semangat anggota,” katanya.

Chin Tong juga menegaskan perlunya tentera darat, udara dan laut mengabungkan tenaga dan idea untuk beroperasi sebagai satu ATM yang lebih perkasa.

“Kami mahu memperbetulkan keadaan. Kami mahu letak ATM sebagai organisasi yang dihormati di mana seramai 130,000 orang dalam ATM dan Mindef bukan sahaja sebagai anggota pertahanan negara tetapi juga sebagai pencetus idea baharu,” tegasnya.

Dalam pada itu, Liew berkata agensi pertahanan negara seperti ATM dan PDRM kini bukan lagi mengikut telunjuk mana-mana parti politik, sebaliknya berkecuali.

“Negara kita sekarang sudah mengamalkan demokrasi apabila tentera dan polis tidak lagi berpihak kepada mana-mana parti politrik. Kami berkhidmat kepada rakyat dan negara serta taat kepada raja,” tambahnya.

Chin Tong juga berkata pihak kementerian mengambil peduli dan perhatian terhadap kawasan Wilayah Dua atau Medan Timur memandangkan ia adalah barisan depan pertahanan negara, lebih-lebih lagi ia adalah kawasan berhampiran Laut China Selatan yang menjadi pertelingkahan antara China dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Panglima Medan Timur ATM Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw dalam ucapannya pada majlis jamuan ringan bersama Chin Tong dan anggota ATM dan Mindef di Kem Muara Tuang hari ini berkata keadaan di Medan Timur adalah sangat  terkawal, tenang dan teratur, tetapi mengingatkan warganya agar sentiasa berwaspada terhadap musuh yang terselindung.

“Warga Pemerintah Medan Timur sebenarnya berhadapan pelbagai cabaran, tetapi apa juga aset yang kami miliki digunakan untuk menjalankan latihan agar kami dapat berdepan dengan apa juga ancaman termasuk bencana alam.

“Kami mempunyai sempadan yang sangat luas dengan Indonesia, iaitu lebih 2,000km, ditambah pula dengan masalah komunikasi yang terhad,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya pihak Kementerian Pertahanan memberi perhatian yang secukupnya kepada Medan Timur. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply