Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan akan belanja peruntukan dengan bijak

Kementerian Pertahanan akan belanja peruntukan dengan bijak

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Kementerian Pertahanan akan menggunakan peruntukan Belanjawan 2019 dengan bijak memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada dalam kesiapsagaan tertinggi menjaga keselamatan negara.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ketika ditemui pemberita di Parlimen berkata ATM akan mencari jalan terbaik memastikan peruntukan diberi digunakan sebaik mungkin tanpa menjejaskan penugasan dan operasi ATM.

Sebanyak RM5.9 bilion peruntukan pembangunan diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri untuk mempertingkatkan keselamatan dalam negeri dan pertahanan negara.

“Memang ada sedikit pengurangan hampir 10 peratus tetapi bahagian emolumen tidak terjejas. Yang terjejas dari sudut aset dan peralatan yang kita akan mencari jalan dengan amoun diberikan supaya ATM berada dalam keadaan siap siaga.

“Peruntukkan untuk veteran (ATM) bertambah RM20 juta. Belanjawan 2019 memberikan penghargaan terutama buat anggota dan bekas tentera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas ditemui di Lobi Parlimen sejurus selesai pembentangan Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menyentuh soal pengurangan peruntukkan beliau berkata, kementerian akan memikirkan langkah terbaik untuk mengurus perbelanjaan tahun hadapan dan yakin ekonomi negara akan kembali pulih seperti dihasratkan Kerajaan Persekutuan bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Sedikit pengurangan itu, kami akan menyusun segala bentuk perbelanjaan dan pengurusan bagi menantikan perubahan yang saya yakin (berlaku) dalam masa dua atau tiga tahun.

“Bagi saya, paling gembira bahagian emolumen tidak terusik. Itu paling penting kerana tentera dan kakitangan, peruntukkan kebajikan serta bekas anggota diutamakan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply