Home Pertahanan dan Keselamatan ATM siap sedia hadapi banjir – Mohamad Sabu

ATM siap sedia hadapi banjir – Mohamad Sabu

by Air Times News Network

KOTA BHARU, 13 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir musim tengkujuh terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah mengarahkan negeri dan markas-markas tentera untuk membuat persediaan menghadapi bencana jika diperlukan serta merta.

“Sekarang tentera kita terlibat dengan membantu mangsa gempa bumi di Sulawesi, kita hantar beberapa kapal terbang untuk mengangkut makanan dan perubatan dari Jakarta ke Palu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Kelantan di Hotel Perdana, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Ramli Jaafar dan Panglima 8 Briged, Mejar Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri serta pegawai-pegawai kanan tentera yang terlibat.

Mengulas lanjut mengenai bantuan ke Indonesia, beliau berkata, sehingga kini bantuan yang diberikan mencukupi dan pihaknya sudah seminggu bertugas di sana.

Terdahulu, Mohamad menyampaikan 200 pingat kepada veteran Persatuan Veteran ATM Kelantan, Kelab Veteran Semboyan Kelantan, Kelab Veteran 302 Saem Sahabat, Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Kelantan serta seluruh warga ATM di sekitar Kelantan termasuk lapan orang diwakili balu tentera.

Penganugerahan pingat tersebut merupakan satu manifestasi perjuangan golongan veteran terhadap keamanan dan kemerdekaan negara.

Related Articles

Leave a Reply