Home Pertahanan dan Keselamatan Mior Rosli tidak beradab terhadap Menteri Pertahanan – Arshad Raji

Mior Rosli tidak beradab terhadap Menteri Pertahanan – Arshad Raji

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Artikel mengkritik Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, secara terbuka yang tular dalam media sosial sejak semalam, tiada kena mengena dengan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata artikel bertajuk ‘Surat untuk Mat Sabu’ yang didakwa ditulis oleh Mejar (B) Mior Rosli itu tidak mewakili pandangan PATRIOT, malah penulis adalah bekas Setiausaha Kehormat persatuan itu.

Dalam artikel berkenaan, Mior Rosli membuat kritikan tidak beradab terhadap Menteri Pertahanan, mempersendakan tingkah laku beliau sebagai Menteri Pertahanan.

Patriot, katanya tidak punya kaitan atau terlibat mengenai penulisan artikel berkenaan.

“Kecuali melalui satu ayat yang menyebutkan bahawa Mior Rosli merupakan bekas Setiausaha Kehormat Patriot dan cuba bercakap melalui platform Patriot, beliau mengakhiri artikel berkenaan atas kapasiti peribadi sebagai penulis artikel tersebut.

Patriot berkata, pihaknya meletakkan keyakinan penuh kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu serta kepimpinannya, begitu juga terhadap anggota kabinet yang lain.

Arshad berkata, pihaknya pernah dua kali bertemu dengan Menteri Pertahanan itu.

Melalui pertemuan berkenaan ujarnya, Patriot yakin dan percaya beliau dan kementeriannya sedang berusaha sebaiknya untuk memperbaiki keadaan dan menyelesaikan masalah termasuk soal kebajikan bekas tentera.

“Patriot berpegang pada pandangan bahawa sesiapa pun berhak membuat ulasan dan mengkritik.

“Bagaimanapun artikel berkenaan menimbulkan keraguan dan rasa tidak senang dalam kalangan awam dan bekas tentera yang tidak menyedari bahawa Mior Rosli bukan lagi Setiausaha Kehormat Patriot dan bukan lagi bercakap bagi pihak Patriot.

“Mereka yang menularkan artikel berkenaan turut menyertakan artikel tersebut dengan gambar Mior Rosli bersama anggota Patriot,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Related Articles

Leave a Reply