Home SemasaGlobal Tidak boleh bina perkuburan islam di Texas

Tidak boleh bina perkuburan islam di Texas

by Noor Sheila Amin

FARMERSVILLE, 1 Sep – Usaha membina perkuburan orang Islam menjadi isu di sini selepas majlis perbandaran menghalang pembinaannya menyebabkan pihak berkuasa persekutuan bakal menyaman mereka, lapor media tempatan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kini menyiasat sama ada majlis perbandaran Farmersville melanggar undang-undang yang menetapkan pihak berkuasa tempatan tidak boleh melakukan diskriminasi dalam isu penggunaan tanah.

Pejabat Peguam Negara Amerika telah meluluskan langkah memfailkan saman terhadap majlis perbandaran berkenaan di bawah Akta Penggunaan Tanah Mengikut Agama dan Institusi Masyarakat, menurut kenyataan pihak berkuasa.

Majlis Perbandaran Farmersville sebulat suara mengundi minggu ini untuk mengadakan rundingan mencari penyelesaian bertujuan membolehkan perkuburan itu dibina dan mengelak daripada saman.

Kota itu terletak di utara Dallas dengan kira-kira 3,300 penduduk, 75 peratus berkulit putih.

Persatuan Islam Collin County mengumumkan pada Julai 2015 bahawa ia merancang membina perkuburan di satu kawasan yang dibelinya di Farmersville.

Tetapi, majlis perbandarannya menolak cadangan persatuan itu meskipun ia memenuhi kriteria pentadbiran, menurut rekod.

Pegawai Farmersville merujuk kepada kebimbangan mengenai sistem saliran, mengikut minit mesyuarat 2017.

Mengulas pelan pembinaan perkuburan itu, ada penduduk bimbang ia akan membawa kepada pembinaan masjid dan sekolah Muslim pada masa depan.

Bagaimanapun, persatuan itu menekankan mereka tiada pelan untuk membina masjid atau sekolah di kawasan berkenaan.

Related Articles

Leave a Reply