Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF akan siasat tiga pengiring Hishammuddin

MINDEF akan siasat tiga pengiring Hishammuddin

by Pasri Asyraf

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menyiasat dakwaan tiga anggota khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menjadi pengiring kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, beliau sudah mengarahkan siasatan dilakukan segera terhadap dakwaan itu.

“Saya mengambil maklum laporan sebuah portal berhubung tiga anggota khas ATM yang didakwa sehingga kini masih menjadi pengiring rapat kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Sehubungan itu, saya sudah mengarahkan siasatan segera dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat sebarang pelanggaran terhadap amalan dan peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Menurut laporan portal berita Malaysiakini, dua anggota itu daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL) masing-masing berusia 37 dan 41 tahun dengan tahun akhir berkhidmat pada 2020 dan 2021, manakala pegawai pengiring ketiga adalah seorang komando.

Laporan terbabit yang memetik sumber ATM dan Kementerian Pertahanan memaklumkan tiada banyak maklumat mengenai komando itu, namun anggota terbabit didakwa antara individu di dalam satu gambar dimuat naik Hishammuddin menerusi Twitter, minggu ini.

Difahamkan, anggota PASKAL berusia 41 tahun itu dilihat menjadi sebahagian daripada pengiring Hishammuddin dalam gambar bertarikh 30 Jun lalu.

Ketiga-tiga anggota itu dilaporkan berkhidmat dengan Hishammuddin sejak beliau menjadi Menteri Pertahanan pada 2013.

Bagaimanapun, khidmat itu sepatutnya tamat selepas beliau tidak lagi memegang portfolio berkenaan berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-14 (PRU14), Mei lalu.

Sumber ATM juga mendedahkan ketiga-tiganya kini mendapat dua gaji, iaitu daripada ATM dan Hishammuddin walaupun sepatutnya mereka tidak boleh bekerja dengan sesiapa saja untuk separuh atau sepenuh masa.

Related Articles

Leave a Reply