SINGAPURA, 11 Jun- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un tiba di Singapura sebentar tadi, menjelang sidang kemuncak julung kali diadakan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam usaha untuk menamatkan warisan terakhir Perang Dingin yang disifatkan Trump sebagai ‘percubaan sekali’ demi perdamaian.
Jong-un tiba di Singapura dengan menaiki pesawat Air China 747 dan menurut laman web pengesan penerbangan, Flighttradar24, ia berlepas dari Pyongyang awal pagi tadi menuju ke Beijing, kemudian menukar nombor penerbangan sebaik tiba sebelum menuju ke selatan.
Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan menghantar gambar menerusi twitter, kelihatan beliau dan Jong-un bersalaman di Lapangan Terbang Changi.
Jong-un kemudian memasuki kenderaan limosin Mercedes-Benz diiringi konvoi lebih 20 kenderaan menuju ke pusat bandar raya.
Menurut Balakrishnan, Jong-un dijangka menemui Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong malam ini, sementara Trump sedang dalam penerbangan dari Kanada menaiki pesawat Air Force One selepas menghadiri sidang kemuncak G7.
Pihak berkuasa mengenakan kawalan ketat di sekitar lokasi sidang kemuncak dan hotel mewah berkaitan, termasuk meletakkan pasu tumbuhan tambahan di luar tempat penginapan Jong-un untuk menghalang pandangan pemberita.
Agenda utama pertemuan dua pemimpin itu antara lain menyentuh soal senjata nuklear Pyongyang, yang sudah beberapa kali dikenakan sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dikatakan mengancam tindakan ketenteraan oleh pentadbiran Trump.
Pada masa pertemuan itu akan menamatkan Perang Korea 65 tahun secara rasmi selepas gencatan senjata dalam sidang kemuncak julung kali antara pemimpin Korea Utara dan presiden dalam jawatan yang menjadi musuh tradisinya.
Pertemuan di Singapura pada Selasa ini adalah kemuncak kepada diplomasi yang menakjubkan di sekitar Semenanjung Korea dan rantau itu tahun ini tetapi pengkritik mengaku ia juga adalah risiko yang paling berjaya diatasi.
Pada masa sama, Washington menuntut Pyongyang melakukan penghapusan sepenuhnya senjata nuklear sedangkan setakat ini Pyonyang hanya membuat pengumuman umum terhadap komitmennya untuk menghapuskan senjata nuklear di rantau itu. Terma yang dianggap terbuka kepada maksud yang luas sambil mencari jaminan keselamatan. – AFP