Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM komited kekang jenyah rentas sempadan

ESSCOM komited kekang jenyah rentas sempadan

by Noor Sheila Amin

LAHAD DATU, 10 Jun – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) terus komited untuk meneruskan kecemerlangan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Komander Esscom DCP Datuk Hazani Ghazali berkata ini penting supaya Esscom yang diterajui oleh tiga agensi utama iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan terus kekal relevan sebagai sebuah agensi keselamatan utama yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal perairan Esszone daripada sebarang ancaman penjenayah rentas sempadan.

Beliau berkata Esscom akan sentiasa fokus termasuk merangka pelbagai pendekatan bagi memastikan tahap keselamatan perairan negara ini berada dalam keadaan terbaik.

“Kita di Esscom juga akan terus kekalkan kecemerlangan yang telah kita capai sebelum ini termasuk kejayaan menembak mati empat penjenyah rentas sempadan di kawasan perairan Felda Sahabat baru-baru ini.

“Dengan kerajaan baharu ini, kita akan teruskan komitmen kita supaya Esscom kekal relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis berbuka puasa Esscom di salah sebuah hotel di daerah ini, pada Jumaat.

Beliau juga menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang viral di media-media sosial yang mengatakan Esscom akan ditutup ataupun dikecilkan.

“Jangan percaya berita-berita palsu yang viral mengatakan bahawa Esscom akan ditutup, Esscom akan dikecilkan.

“Semua dakwaan itu sebenarnya adalah tidak betul yang cuba untuk melemahkan semangat dan moral anggota Esscom,” katanya.

Turut hadir ketua pegawai eksekutif Esscom Noor Alam Khan A. Wahid Khan, Timbalan Komander Esscom Brig. Jen Datuk Badrul Hisham dan Ketua Staf Bahagian Perisikan SAC Hashim Justin.

Related Articles

Leave a Reply