Menterinya, Mohamad Sabu berkata, perkara itu termasuk siasatan berhubung skandal kapal selam Scorpene.

“Isu (skandal Mindef) ditimbulkan orang ramai selama ini dan adalah menjadi tanggungjawab kita dan jawatankuasa untuk siasat perkara ini dan ia tidak tertumpu satu isu sahaja.

“Sebaliknya, semua akan disiasat khususnya skandal-skandal besar termasuk siasatan berhubung Scorpene yang mana kita telah bincang mengenainya di peringkat Kabinet, cumanya sekarang ini terlalu awal nak komen,” katanya dalam wawancara bersama beberapa agensi media tempatan di Wisma Pertahanan, hari ini.

Mohamad berkata, siasatan tersebut bagi memastikan Mindef bebas dari sebarang skandal rasuah.

“Siasatan akan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ini kerana penyelewengan akan memberikan kesan yang besar terhadap keupayaan gempur Angkatan Tentera Malaysia dan melemahkan pertahanan negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan amalan ahli politik dan selebriti memakai baju seragam dan diberikan pangkat tentera.

Katanya, ini kerana ia merendahkan penghormatan yang diberikan kepada gelaran itu selain menghormati tentera itu sendiri.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut apakah akan menarik balik gelaran tentera yang telah diberikan kementeriannya itu sebelum ini.

“Saya telah arahkan supaya pakaian tentera atau anugerah pangkat kepada orang awam ini dikaji semula sebab kita mahu imej tentera itu perlu dipertingkatkan dan kerana tentera adalah tentera dan mereka perlu dihormati.

“Kita tidak mahu sewenangnya uniform tentera disalah gunakan atau pemberian pangkat kepada orang politik sewenangnya dan ini kita akan kaji dan kurangkan seminimum mungkin,” katanya.