SINGAPURA, 4 Jun – Rancangan kerajaan Malaysia untuk memperluas Batuan Tengah sehingga menjadi pulau adalah ‘sah sepenuhnya’ selagi ia memenuhi peruntukan berdasarkan undang-undang antarabangsa, kata Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen, di sini kelmarin.
“Saya fikir langkah itu sah sepenuhnya selagi ia memenuhi peruntukan dalam undang-undang antarabangsa, kata Eng Hen, pemimpin kanan pertama Singapura mengulas mengenainya, yang dipetik oleh portal Today Online.
Ketika memberitahu demikian kepada media di penutupan sidang tahunan Dialog Shangri-La, beliau juga berkata bahawa semua negara memiliki hak membangunkan dan melakukan apa yang perlu mengikut keperluan masing-masing.
“Saya rasa perkara itu adalah sah. Bagi mereka, mereka rasa perlu untuk membangunkannya. Adalah bagus kerana mereka menyatakannya secara terbuka jadi kami memahami pendirian masing-masing.
“Seperti juga jika Singapura mahu membangunkan pelbagai aspek tertentu seperti yang kami lakukan membabitkan kawasan pulau kami atas keperluan domestik, sivil atau keselamatan,” katanya lagi.
Minggu lalu, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia mahu memperbesarkan Batuan Tengah yang meliputi dua kawasan batu membentuk pulau kecil yang terletak sejauh satu kilometer di selatan pulau Pedra Branca, Singapura.
Ketika ini, Malaysia mempunyai sebuah markas maritim dipanggil Abu Bakar di Batuan Tengah yang berada di kedudukan hadapan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.
Markas itu membabitkan sebuah jeti yang menghubungkan dua kawasan itu berjarak di antara 320 meter dengan sebuah rumah api dan tapak pendaratan helikopter.
Penganalisis berkata, pelan kerajaan Malaysia itu bertujuan memperkuatkan imej nasionalisnya selain memperkukuh kedaulatan di situ selepas menarik diri daripada mencabar keputusan mahkamah antarabangsa mengenai kedaulatan Pedra Branca.
Khamis lalu, jurucakap Kementerian Luar Singapura, ketika ditanya mengenai isu pelan Malaysia di Batuan Tengah, berkata: “Malaysia memiliki kedaulatan ke atas Batuan Tengah. Kami tidak ada ulasan mengenai aktiviti Malaysia di Batuan Tengah selagi ia sejajar dengan undang-undang antarabangsa.”
Sebelum pengumuman Dr Mahathir mengenai pelan di Batuan Tengah, Malaysia menarik balik dua langkah memfail cabaran di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 28 Mei lalu selepas ICJ memutuskan pada 2008 untuk memberi kedaulatan Pedra Branca kepada Singapura. – Agensi