Home Pertahanan dan Keselamatan ‘Saya perlu sesuaikan diri, tidak akan ubah stail Mat Sabu’

‘Saya perlu sesuaikan diri, tidak akan ubah stail Mat Sabu’

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Setelah bergelar Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengakui masih menyesuaikan diri dengan banyak perkara baharu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan sesekali mengubah personalitinya yang dikenali selama ini.

“Perasaan gementar itu pasti ada. Saya selalunya hidup bersama rakyat tetapi sekarang saya kena ikut protokol tertentu.

Mohamad Sabu menandatangani nota terima tugas di pejabatnya di Kementerian Pertahanan

“Ini perkara baharu bagi saya. Saya perlu sesuaikan diri dengan hidup baharu tetapi saya tidak mahu mengubah stail Mat Sabu,” katanya dalam sidang media selepas menandatangani nota terima tugas di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Menurut Mohamad, beliau juga kini perlu lebih berhati-hati dalam percakapannya.

“Sudah tentu kalau nak bercakap, fakta kena dijaga. Perasaan negara-negara jiran perlu diambil kira.

“Memang saya Presiden Amanah, tapi saya juga Menteri Pertahanan. Jadi dua perkara itu saya perlu berhati-hati dan cermat kerana sebarang percakapan akan dilihat dan dikaji oleh pihak lawan dan kawan sama ada dalam negara atau luar negara,” katanya.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari 1 RAMD

Terdahulu, Mohamad mengambil tabik hormat dan menerima Kawalan Kehormatan Utama di Dataran Wisma Pertahanan sempena hari pertama beliau berkhidmat di Kementerian Pertahanan.

Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai oleh Mejar Juniusabdiah Shah Putra Janny.

Turut hadir, panglima-panglima perkhidmatan serta pegawai-pegawai kanan tentera dan awam Kementerian Pertahanan.

Related Articles

Leave a Reply