Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kampus satelit tersebut akan menjadi pelengkap untuk melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan veteran ATM.

“Walau bagaimanapun impak dan kejayaan program latihan ini juga banyak bergantung kepada kepakaran pihak tenaga pengajar dan kesungguhan para veteran dalam memahami serta mempraktikkan ilmu keusahawanan dan kemahiran dipelajari.

“Para veteran ATM kita merupakan aset tidak ternilai harganya dengan pengalaman menjalani latihan fizikal dan disiplin yang ekstrim telah memberi nilai tambah menjadi modal insan kepada masyarakat terutama dalam membangunkan sektor ekonomi di Sarawak,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan wakilnya, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri, Datuk Seri Michael Manyin Jawong pada Majlis Pelancaran Kampus Satelit Perhebat-Unimas, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Perhebat, Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Mohd. Fadzil Abdul Rahman.

Bermula Februari lalu, sebanyak empat program baharu ditawarkan iaitu Akuaponik, Sistem Keselamatan dan Keselamatan Elektronik, Perusahaan Cendawan Tiram dan Pertanian Pintar, Fertigasi dan Pemasaran yang menjurus kepada peningkatan kemahiran veteran ATM dalam menjalankan aktiviti perniagaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peluang kerjaya keusahawanan mungkin merupakan satu perkara yang baharu tetapi sebagai veteran ATM mereka mempunyai beberapa ciri penting untuk menjadi usahawan berjaya yang telah diterapkan sepanjang perkhidmatan.

“Ciri itu seperti disiplin, daya tahan fizikal dan mental, kemahiran bekerja secara berkumpulan dan bersemangat tinggi,” jelasnya.