Home SemasaGlobal Rejim Assad tawan semula Ghouta

Rejim Assad tawan semula Ghouta

by Noor Sheila Amin

Douma, 2 April – Rejim Syria, semalam semakin hampir menawan keseluruhan kubu kuat pembangkang di Timur Ghouta selepas perjanjian dicapai bagi penentang dan penduduk awam meninggalkan wilayah itu.

Perjanjian yang diatur oleh sekutu Syria itu, Russia, menyaksikan pergerakan Jaish al-Islam, meninggalkan bandar utama Timur Ghouta, Douma, untuk ke wilayah pembangkang di utara negara itu, lapor media dan kumpulan pemerhati.

Tiada pengesahan diterima daripada pembangkang, tetapi tentera Russia berkata ia sudah mencapai persetujuan awal pengunduran’ kumpulan berkenaan dari Timur Ghouta yang terletak berhampiran Damsyik.

Tiada tarikh diberikan untuk tujuan pengunduran dan Moscow berkata pemberontak dijangka membuang periuk api daripada bangunan dan membersihkan sekatan jalan raya sebelum meninggalkan wilayah berkenaan.

Kejayaan menawan semula Timur Ghouta menjadi kejayaan besar kepada usaha Presiden Bashar al-Assad mengambil alih wilayah yang dirampas pembangkang dalam perang saudara di negara itu yang sudah masuk tahun ketujuh.

Dengan sokongan Russia, tentera Assad mencapai banyak kejayaan menewaskan pembangkang sejak beberapa tahun ini, selalunya menerusi kempen kepungan, pengeboman udara dan serangan darat yang mencetuskan kritikan antarabangsa.

Agensi berita SANA melaporkan, Jaish al-Islam akan menuju ke Jarabulus di Aleppo manakala Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata mereka juga akan menuju ke Al-Bab, kedua-dua bandar yang dikuasai pemberontak pro-Turki.

Perjanjian itu menyaksikan polis tentera Russia memasuki Douma dan institusi kerajaan kembali ke bandar itu.

Related Articles

Leave a Reply