Home Pertahanan dan Keselamatan 2 buah kapal Tentera Laut Diraja Thailand tiba di Malaysia

2 buah kapal Tentera Laut Diraja Thailand tiba di Malaysia

by M.Daim

Pelabuhan Klang, 30 Mac – Dua buah kapal Tentera Laut Diraja Thailand (RTN), HTMS  Pattani dan HTMS Bangpakong tiba di Malaysia pada pagi semalam. Kehadiran kedua-dua buah kapal ini merupakan hasil daripada hubungan Diplomasi Pertahanan yang dilakukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.

HTMS Pattani, salah sebuah daripada dua buah kapal OPV kelas Pattani. Sumber foto: Twitter TLDM

HTMS Pattani (511)

HTMS Pattani (511) merupakan salah sebuah kapal peronda luar pesisir yang digunakan oleh RTN. Dalam inventori RTN, terdapat 2 buah kapal kelas Pattani; HTMS Pattani dan HTMS Narathiwat.

HTMS Pattani  dan HTMS Narathiwat dibina oleh syarikat China State Shipbuilding Corporation (CSIC). HTMS Pattani mula dilancarkan pada tahun 2004 dan mula berkhidmat dalam perkhidmatan RTN pada 15 Disember 2005.

Kapal ini pernah terlibat dalam operasi mengawal perairan Teluk Aden dari ancaman lanun pada tahun 2010. Penghantaran HTMS Pattani merupakan operasi luar negara Thailand yang bertujuan untuk menjaga kepentingan negara itu di luar wilayah Thailand. Sepanjang operasi tersebut, HTMS Pattani dan HTMS Similan berjaya mengagalkan 2 cubaan serangan oleh kumpulan lanun.

Pada tahun 2014, HTMS Pattani turut terlibat dalam operasi pencarian MH370.

HTMS Bangpakong merupakan kapal kedua daripada 4 buah kapal frigat kelas Chao Praya.
Foto: Twitter TLDM.

HTMS Bangpakong

Merupakan salah sebuah daripada 4 buah kapal kelas Chao Praya yang berasaskan reka bentuk Type-053HT (Jianghu III) dalam RTN, HTMS Bangpakong (456) mula dibina pada tahun 1991 sebagai varian Type-053T.

Kapal jenis Jianghu III merupakan varian kapal model Type-053 buatan China. Kapal kelas Jianghu III merupakan antara kapal yang mula menjadi perhatian dalam pasaran eksport peralatan dan persenjataan tentera laut oleh China.

Selain China dan Thailand, Kapal kelas Type-053 turut digunakan oleh Tentera Laut Bangladesh, Tentera Laut Myanmar, dan Tentera Laut Mesir.

HTMS Bangpakong dibina serentak dengan HTMS Chao Praya (455) pada tahun 1991. Pada tahun 1992, reka bentuk Type-053HT ditambah nilai dan menghasilkan dua buah lagi kapal kelas  ini; HTMS Kraburi (457) dan HTMS Saiburi (458).

Walaupun HTMS Kraburi dan HTMS Saiburi adalah versi tingkat upaya berbanding dua buah kapal sebelumnya, keempat-empat kapal kelas Chao Praya adalah berasaskan reka bentuk Type-053H2.

 

Related Articles

Leave a Reply