Home Pertahanan dan Keselamatan Polis, ATM adakan rondaan keselamatan di lapangan terbang

Polis, ATM adakan rondaan keselamatan di lapangan terbang

by Air Times News Network

TAWAU, 2 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan serta merta rondaan kawalan keselamatan bersama di kawasan strategik di Lapangan Terbang Tawau.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Bukit Aman, Deputi Komisioner Hashim Ali berkata kolaborasi rondaan itu sebagai memberi isyarat bahawa keadaan keselamatan di Sabah khususnya Tawau dalam kawalan pihak berkuasa.

“Rondaan ini sebagai memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa pihak kerajaan menerusi PDRM dan ATM  sentiasa menitikberatkan tentang sebarang kemungkinan perkara boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini selepas mesyuarat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 2 mengenai Penyelarasan Tugas Rondaan antara PDRM dan ATM yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada Khamis.

Dalam pada itu, Hashim berharap rondaan kawalan di lapangan terbang tersebut tidak disalahertikan kerana perkara itu hanya untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan keselamatan.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan keselamatan negara terkawal meskipun terdapat ancaman yang perlu diberi perhatian termasuk ancaman keganasan berbentuk militan seperti Daesh.

Menurutnya di Sabah ancaman di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) adalah berdepan dengan kumpulan seperti Abu Sayyaf serta kumpulan lain yang melakukan penculikan dengan menyasarkan penduduk tempatan dan warga asing.

Related Articles

Leave a Reply