Home PolitikBarisan Nasional Malaysia Tidak Akan Muflis: Awang Adek

Malaysia Tidak Akan Muflis: Awang Adek

by Nurulhuda

BACHOK, 24 Feb – Malaysia tidak akan muflis hanya dengan tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang mengenai ekonomi negara ini. Pengerusi Mara, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, ia hanya bicara politik kosong yang disebarkan pembangkang untuk menakutkan rakyat. Menurutnya, jika Malaysia muflis sudah tentu pelbagai pihak termasuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan datang untuk memantau negara ini kerana ia bukan melibatkan sebuah negara sahaja.

“Hutang kita hari ini memang tinggi tetapi Malaysia berhutang dalam negara dan ia bukan masalah besar asalkan ia tidak melebihi disiplin 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kita sekarang kurang daripada 53 peratus. Kalau kita berhutang dalam negara kerajaan boleh keluarkan bon.

“Yang penting hutang luar negara kita hanya tiga peratus. Masa Tun Dr Mahathir dahulu hutang luar negara kita mencecah 20 hingga 30 peratus. Ketika itu matawang kita jatuh teruk kerana hutang luar negara. Nilai ringgit RM5 untuk US1. Kita tak boleh bayar dan makin teruk.

“Sebab itu hari ini kita belajar daripada kesilapan Tun Dr Mahathir,” katanya ketika Bicara Minda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok, kelmarin.

Awang Adek yang pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan berkata, kini rizab negara juga tinggi dan ringgit semakin kukuh. Beliau berkata, baru-baru ini apabila pembangkang meniupkan perkhabaran BN akan tumbang, telah menakutkan pelabur asing yang bimbang dengan kekalahan BN.

“Sekarang pelabur tahu khabar angin itu tidak benar dan ekonomi kita semakin stabil kerana pelabur pasti BN akan terus memerintah.

“Satu faktor yang kita perlu ingat ialah kejayaan ekonomi kita selama ini sejak merdeka, ialah kerana kestabilan politik. Kajian Bank Dunia menunjukkan kestabilan politik boleh menumpu usaha pembangunan untuk rakyat dan sebab itulah dalam PRU nanti BN mesti menang, itu penting,” katanya.

Awang Adek berkata, rakyat Malaysia perlu memastikan kestabilan politik itu terus wujud di bawah pemerintahan BN dan jika ia diberikan kepada pembangkang, negara berkemungkinan akan jatuh seperti mana negara teluk hari ini.

Related Articles

Leave a Reply