Home Pertahanan dan Keselamatan Panglima Tentera Laut Terima Anugerah Pingat Nishan-E-Imtiaz dari Pakistan

Panglima Tentera Laut Terima Anugerah Pingat Nishan-E-Imtiaz dari Pakistan

by M.Daim

Kuala Lumpur, 19 Feb – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin telah dianugerahkan Pingat Nishan-E-Imtiaz Military (Highest Order of Excellence in Military Service) dari kerajaan Pakistan. Pingat tersebut dianugerahkan oleh Presiden Pakistan, His Excellency Mamnoon Hussain kepada Panglima Tentera Laut.

Tan Sri Ahmad Kamarulzaman merupakan antara pemimpin tentera negara terpilih yang mendapat penganugerahan tersebut.

Beliau berkata, “Penganugerahan tersebut adalah pengiktirafan kerajaan Pakistan terhadap usaha diplomasi pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Saya yakin ia dapat merapatkan lagi hubungan dua hala ketenteraan, khasnya antara Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Laut Pakistan.Saya berasa rendah diri dan bangga kerana penganugerahan pingat ini merupakan penghormatan Kerajaan dan Tentera Laut Pakistan kepada Malaysia.”

“Kepercayaan yang tinggi dan dasar negara yang konsisten serta kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana tetapi berpengaruh merupakan elemen penting diplomasi pertahanan yang efektif. Ini satu mesej yang sangat jelas bahawa dalam kita mengharungi cabaran keselamatan dan geostrategik yang tidak menentu, Malaysia dilihat sebagai satu rakan strategik yang boleh dipercayai, komited dan ikhklas.”

Lawatan rasmi Panglima Tentera Laut selama 5 hari dipenuhi dengan beberapa taklimat dan perbincangan bersama pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Pakistan. Tentera Laut Pakistan turut menyambut baik inisiatif strategik bagi mempertingkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak, khasnya dalam aspek keselamatan maritim dan taktikal. Pakistan turut tertarik dengan inisiatif berinovasi, Pelan Transformasi Armada 15-to-5, yang sedang dilaksanakan dalam TLDM.

Pingat Nishan-E-Imtiaz Military merupakan pingat darjah kemuliaan tertinggi dalam Angkatan Tentera Pakistan. Pingat ini dianugerahkan oleh Pakistan sebagai penghormatan kepada pemimpin kerajaan dan kenamaan asing yang dianggap penting dan bertaraf antarabangsa.

Related Articles

Leave a Reply