Home Pertahanan dan Keselamatan Hospital Veteran ATM yang pertama dibina di Ipoh

Hospital Veteran ATM yang pertama dibina di Ipoh

by Air Times News Network

IPOH, 2 Feb – Kementerian Pertahanan akan membina sebuah hospital khusus untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pertama di negara ini di tanah milik ATM di Kem Gua Permai, Jalan Tambun di sini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hospital itu akan dibangunkan dengan pihak BP Healthcare Group yang berkonsepkan kerjasama awam-swasta di kawasan seluas hampir 29,000 meter persegi.

Menurut beliau, hospital ini akan menyediakan kemudahan poliklinik pakar geriatrik iaitu bidang kepakaran pesakit warga emas, serta kepakaran lain seperti jantung dan respiratori, urologi dan neuropsikiatri.

“Pembinaan hospital veteran ATM ini adalah bagi memenuhi aspirasi dan keperluan veteran ATM sendiri juga sebagai manisfestasi penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa, keringat dan pengorbanan veteran ATM.

“Hospital ini ditubuhkan bagi memastikan usaha menjaga kesihatan yang berterusan dalam kalangan veteran ATM sentiasa diberi penekanan khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat tapak pembinaan Hospital Veteran ATM di di Kem Gua Permai, Jalan Tambun di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!