KUALA LUMPUR, 19 Nov – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menangkis dakwaan mengatakan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di negara ini bakal mengundang lebih ramai musuh.
Katanya, tiada negara terkecuali dari menjadi sasaran pengganas dan militan.
“Ini terbukti bila kita lihat negara-negara lebih maju kalau tiada pusat ini, tidak mungkin kita tak jadi sasaran pengganas.
Namun begitu, negara ini tidak boleh tunduk dan menyerah kalah lalu membenarkan militan menang.
“Mereka (Daesh) berjaya di negara-negara tentu kerana wujud takut dan bimbang tetapi tidak disuarakan negara berkenaan.
Mereka tidak lakukan sesuatu untuk berdepan dengan mereka dan militan ini bermaharajalela.
“Sebab itu, kita jadi target juga. Kalau kita yakin dengan apa yang dilakukan ini kita teruskan dengan agenda kita,” katanya.
Jelasnya, sekiranya konsep wasatiyah tidak diperjuangkan kerana bimbang dan takut, negara ini tetap akan menjado sasaran.
Sebelum ini penganalisis pertahanan, Mohd Fuad Mat Noor memberi amaran kepada kerajaan bahawa masalah sebenar penubuhan KSCIP bukan cara memerangi pengganas tetapi negara ini perlu mencari jalan mengelakkan kerana ia mengundang lebih ramai musuh jika gagal mengekalkan dasar berkecualinya.
Beliau turut berkata, imej Malaysia sebagai negara neutral tercalar dan menjadi alat Arab Saudi untuk menyampaikan suaranya kepada negara yang tidak memihak kepada mereka.