KUALA LUMPUR, 11 Okt – Tiga Panglima Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat bagi membincangkan keperluan aset pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pertemuan itu akan berlangsung sebelum Perdana Menteri membentangkan Bajet 2018 yang dijadualkan pada 27 Oktober depan bagi memberi kefahaman mengenai kepentingan perbelanjaan negara dalam memperkasakan sistem pertahanan negara.
Katanya, sesi pertemuan itu sudah dimaklumkan ketika beliau dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menemui Perdana Menteri semalam.
“Semestinya keperluan berbeza antara perkhidmatan dan saya sudah tahu dari awal apa keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia, saya dengan Panglima Angkatan Tentera sempat berjumpa Perdana Menteri semalam.
“Kalau tidak ada kekangan, saya nak Panglima Perkhidmatan sebelum bajet, berjumpa dengan Perdana Menteri sendiri kerana kena fahami nak dapat aset dan peruntukan dalam ekonomi yang tidak menentu bukan satu hak, ia satu perkara yang kerajaan sedar diperlukan oleh ATM untuk pastikan keselamatan dan pertahanan tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Nadwah Ilmiah Pegawai-Pegawai Kanan 2017 (NAIM 2017) dan Pelancaran Indeks Syariah peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.
NAIM 2017 dianjurkan bersama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di bawah Unit Indeks Syariah Malaysia.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Raja Mohamed Affandi.
Kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM15.1 bilion dalam Bajet 2017 bagi memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan ATM dalam menjaga kedaulatan negara.
Hishammuddin berkata, peruntukan dalam Bajet 2018 yang dipohon kementeriannya tidak keterlaluan dan jumlah itu sudah dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
Beliau yakin jika ada peruntukan yang tidak sempat diumumkan Perdana Menteri pada sesi pembentangan Bajet 2018, pihaknya akan melancarkan agenda peringkat kementerian susulan daripada itu.
“Agenda yang akan dilancarkan adalah agenda kesihatan dan perubatan, agenda pendidikan anak veteran dan anggota, agenda kos sara hidup dan perumahan.
“Itu semua akan menyusul selepas bajet nanti untuk menunjukkan hala tuju Kementerian Pertahanan bersandar lima teras (agama, nyawa, akal, keturunan dan harta), semua itu sudah ada cuma tunggu untuk diumumkan secara berperingkat,” katanya.