Dalam landskap pertahanan global yang semakin kompleks dan tidak menentu, United Kingdom (UK) melangkah ke hadapan dengan pelan strategik menyeluruh bagi memperkukuh keupayaan udaranya. Melalui Strategic Defence Review (SDR) 2025, kerajaan UK memperkenalkan hala tuju baharu yang bakal mentransformasikan Royal Air Force (RAF) menjadi satu kuasa udara moden bertaraf dunia.
Transformasi kuasa udara UK melalui SDR 2025
Pelan ini menegaskan matlamat jangka panjang UK untuk mempertahankan kedaulatan mereka serta memainkan peranan yang lebih berpengaruh di pentas antarabangsa. Ia turut menjadikan sektor pertahanan sebagai pemacu inovasi, kedaulatan teknologi dan pertumbuhan ekonomi UK.

Jet pejuang F-35B Lightning II telah digariskan menjadi salah satu tunjang kekuatan udara United Kingdom dalam Strategic Defence Review (SDR) 2025. Foto: UK MOD
RAF generasi baharu ini tidak lagi bergantung semata-mata kepada jumlah pesawat atau keupayaan konvensional. Sebaliknya, kekuatan udara kini ditakrifkan oleh gabungan platform berteknologi tinggi, kecerdasan buatan, keupayaan digital rentas domain dan kecekapan tindak balas secara bersepadu.
Hasilnya, satu bentuk bentuk kuasa udara yang bukan sahaja mampu bertahan, tetapi juga mendahului perubahan.
GCAP jadi pemacu masa depan, F-35 dan Typhoon kukuhkan barisan sedia ada
Tumpuan utama dalam transformasi ini terletak kepada tiga elemen utama: jet pejuang F-35B Lightning II, peningkatan menyeluruh Eurofighter Typhoon, serta pembangunan pesawat generasi keenam menerusi kerjasama antarabangsa dikenali sebagai Global Combat Air Programme (GCAP).

Tingkat upaya jet pejuang Eurofighter Typhoon akan dilaksanakan secara maksimum bagi memenuhi keperluan SDR 2025 UK. Foto: UK MOD
F-35B kekal sebagai aset strategik yang kritikal dalam barisan udara UK. Keupayaannya yang serba boleh, termasuk kebolehan pendaratan menegak serta operasi dari kapal pengangkut, menjadikannya komponen penting dalam serangan balas pantas. Dalam SDR 2025, kerajaan UK telah memperincikan peranan F-35 dalam mewujudkan Hybrid Carrier Air Wing, iaitu formasi udara hibrid di atas kapal induk yang menggabungkan jet tempur, senjata jarak jauh dan pesawat tanpa pemandu.
Langkah ini bukan sahaja menjadikan UK sebagai negara pertama di Eropah membina konsep tersebut, malah membolehkan tindak balas strategik terhadap ancaman di mana-mana kawasan global secara efisien dan bersepadu.

Berbeza generasi tetapi berganding bahu – F-35B Lightning II dan Eurofighter Typhoon akan disatukan bersama jet pejuang generasi keenam yang dihasilkan melalui program GCAP. Foto: RAF
Di samping itu, pesawat Eurofighter Typhoon akan terus berkhidmat sebagai pemintas utama. Meskipun pembangunan GCAP sedang giat dijalankan, Typhoon tidak akan disingkirkan. Sebaliknya, ia akan menjalani proses peningkatan sistem secara menyeluruh termasuk naik taraf elektronik, keupayaan tempur udara ke udara dan udara ke darat, serta keserasian dengan sistem digital dan sokongan dron taktikal.
Typhoon berperanan sebagai penghubung antara era sedia ada dan masa hadapan, memastikan kesinambungan keupayaan udara UK dalam tempoh peralihan.
GCAP pula menjadi mercu tanda visi jangka panjang UK. Dijalankan bersama Jepun dan Itali, program ini bertujuan membangunkan pesawat tempur generasi keenam yang menyatukan keupayaan pemanduan bersama sistem autonomi, rangkaian komunikasi bersepadu, kecanggihan stealth, serta integrasi senjata pintar.
Lebih daripada sekadar pesawat, GCAP dirangka sebagai platform peperangan digital pelbagai domain merentas darat, udara, siber dan angkasa dalam satu sistem tempur bersepadu.

Selari dengan kemajuan teknologi, jet pejuang generasi ke-6 dijangka mempunyai jaringan hubungan maklumat dengan aset-aset udara lain. Foto: Leonardo
Digital Targeting Web: ‘Otak’ udara masa hadapan
Menambah kekuatan kepada strategi ini ialah pembangunan Digital Targeting Web, iaitu sistem rangkaian digital tempur yang menyepadukan segala elemen dari penderia, pengambil keputusan hingga pelancar senjata secara masa nyata.
Dengan pelaburan melebihi £1 bilion, sistem ini dijangka menjadi nadi kepada peperangan masa hadapan mempercepat keputusan tempur, meningkatkan ketepatan serangan dan memastikan keberkesanan misi rentas domain.
Pendek kata, ia mewujudkan satu bentuk tentera udara pintar yang bergerak sepantas data dan beroperasi mengikut logik masa sebenar. Ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan UK untuk bertindak secara bersendirian, malah meningkatkan tahap interoperabiliti bersama sekutu NATO dan rakan antarabangsa.
Komitmen global dan kepimpinan NATO
Strategi udara baharu UK turut mencerminkan komitmen kepada kerjasama pertahanan global. Melalui pendekatan ‘NATO First’, kerajaan memperkukuh peranan dalam pertahanan kolektif Euro-Atlantik, sambil terus menjalinkan kerjasama dua hala dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Jepun.
F-35, Typhoon dan GCAP bukan sekadar simbol kekuatan ketenteraan, tetapi juga lambang dasar luar yang konsisten dan bertanggungjawab. Dengan menyokong operasi bersama NATO dan memperluas keupayaan tindak balas pantas, UK mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa udara utama di Eropah dan sekutu yang dipercayai dalam pakatan strategik global.

GCAP atau lebih dikenali Tempest merupakan program jet pejuang generasi ke-6 yang mengandingkan UK, Itali dan Jepun. Foto: BAE Systems
Gabungan masa kini dan masa hadapan
Gabungan ketiga-tiga platform ini, F-35 yang sedia tangkas, Typhoon yang diperkasa dan GCAP yang futuristik memperlihatkan wawasan UK yang berpaksikan teknologi, ketangkasan dan kekuatan digital. Ia bukan sahaja mencerminkan evolusi keupayaan udara, tetapi juga membentuk asas kepada keupayaan pertahanan nasional dan pengaruh antarabangsa dalam dekad-dekad mendatang.
Transformasi ini menjadikan langit Britain bukan sahaja dilindungi, tetapi turut dikawal dengan tahap kecanggihan yang belum pernah disaksikan sebelum ini. – airtimes.my
#AirTimes #RAF #F35 #GCAP #UKDefense #KuasaUdara