MOSKOW, 19 Feb – Kerajaan Belanda mendakwa Rusia telah menyalahguna status diplomat bagi menghantar pegawai perisikan ke negara Eropah itu.
Menteri Luar Belanda, Wopke Hoekstra menyatakan cubaan berterusan oleh Moskow merupakan satu perkara tidak boleh dibiarkan untuk terus berlaku.
“Cubaan Rusia terus menempatkan pegawai perisikan mereka dengan menggunakan perlindungan diplomatik adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,
“Kami menghadkan jumlah bilangan diplomat Rusia di Belanda,” kata Wopke dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan pihak The Hague telah mengarahkan penutupan Konsulat Jeneral Belanda di St Petersburg. Pada masa yang sama, Pejabat Dagangan Rusia di Amsterdam turut diarahkan untuk ditutup.
Sementara itu, media Rusia, TASS mendakwa Konsulat Jeneral Belanda ditutup di St Petersburg mulai 20 Februari ini kerana kekurangan kakitangan.
Laporan itu turut menyatakan keputusan penutupan Konsulat Jeneral di St Petersburg dan Pejabat Dagangan Rusia dilakukan kerana perbincangan The Hague-Moskow mengenai urusan diplomat gagal membuahkan hasil.
“Sebahagian diplomat Rusia dikehendaki meninggalkan Belanda dalam tempoh 2 minggu,” kata TASS.
Hubungan Moskow dengan Belanda menjadi tegang semenjak 2014 terutamanya selepas insiden MH17 dan tindakan Rusia mengilhak Crimea.
Perang Ukraine yang tercetus pada 24 Februari 2022 memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara apabila Belanda bersama-sama Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan terhadap Rusia.
Moskow bertindak balas dengan menyenaraikan kesemua negara EU sebagai “Negara Yang Tidak Mesra”.
Selain EU, senarai tersebut melibatkan Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, dan juga Singapura.
Pada tahun lalu, pihak The Hague mendakwa mereka telah berjaya menggagalkan cubaan penyusupan masuk oleh perisik Rusia ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Selain daripada itu, Mahkamah Daerah The Hague telah menjatuhkan penjara seumur hidup kepada 3 individu yang didakwa bertanggungjawab dalam insiden menembak jatuh MH17. Keputusan yang dibuat pada pertengahan November melibatkan 2 warga Rusia dan seorang warga Ukraine pro-Moskow. – airtimes.my