BAGHDAD, 16 JAN – Beberapa siri letupan kuat telah menggegarkan wilayah Erbil, utara Iraq.
Kawasan majoriti masyarakat Kurdish itu telah dibedil dengan serangan peluru berpandu balistik dari Iran.
Kejadian berlaku pada 11.36 malam 15 Januari waktu tempatan (4.36 pagi 16 Jan waktu Malaysia).
Letupan turut dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran konsulat Amerika Syarikat.
Tentera Iran (IRGC) mengaku bertanggungjawab dalam melancarkan serangan tersebut.
Menurutnya, serangan tersebut adalah disasarkan terhadap ‘pangkalan perisikan Israel’ yang terletak di Erbil.
“Ia merupakan sebagai tindak balas terhadap tindakan jenayah keganasan oleh musuh Iran,
“Pangkalan perisikan dan pusat kumpulan anti Iran berkumpul di kawasan tersebut telah menjadi sasaran serangan peluru berpandu balistik,” lapor media Iran yang memetik kenyataan IRGC.
Sementara itu, media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 5 misil balistik telah mengenai kawasan jalan dan Lapangan Terbang Antarabangsa di Erbil.
Sekurang-kurangnya 5 penduduk awam maut manakala 17 lagi cedera akibat serangan tersebut.
Bekas Timbalan Speaker Kurdistan, Dr Hemn Hawrami mengesahkan antara yang terbunuh adalah seorang ahli perniagaan Kurdish, Peshraw Dizaiy dan 4 ahli keluarga.
Serangan misil balistik ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh Iran. Pada tahun 2020, Iran telah melancarkan serangan terhadap Erbil dan Pangkalan Udara Al-Asad di Iraq sebagai tindak balas kepada pembunuhan Qassem Soleimani.
Pada Mac 2022, Iran telah melancarkan 12 misil balistik ke Erbil kerana mendakwa kawasan tersebut menjadi pusat operasi hadapan Mossad.
Pihak berkuasa Kurdish menolak tuduhan Iran dan menyatakan tiada sebarang bukti menunjukkan kewujudan pusat operasi perisikan seperti didakwa. – airtimes.my
#AirTimes #Iraq #Iran #Erbil