KEMAMAN, 25 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman telah menahan 2 kapal dagang yang sedang melakukan pemindahan minyak secara haram dari kapal ke kapal di sekitar perairan Pelabuhan Kemaman, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kedua-dua kapal tersebut ditahan pada jam 11.30 pagi, sekitar 3.4 batu nautika dari Kuala Kemaman ketika bot ronda APMM melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Terengganu.
“Ketika pemeriksaan, kedua-dua kapal yang merapat antara satu sama lain itu sedang melakukan pemindahan minyak secara ‘SHIP TO SHIP’ (STS) tanpa kebenaran yang sah,
“Kedua-dua kapal tersebut ditahan, manakala kapten dan kru dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut,
“Kesemua kru kapal berumur antara 22 tahun hingga 61 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM, hari ini.
Rashidilhadi berkata, kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, pihaknya memandang serius perkara ini dan sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas kapal-kapal yang bersauh di perairan bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang negara. -airtimes.my