Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Zon Tanjung Sedili tahan kapal tangki bersauh tanpa kebenaran

APMM Zon Tanjung Sedili tahan kapal tangki bersauh tanpa kebenaran

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 28 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili berjaya menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Panama bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur pada Selasa.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohamad Sulhan Zainon berkata, kapal tangki tersebut ditahan dalam satu operasi sekitar jam 1.20 petang sewaktu kapal ronda APMM sedang melaksanakan rondaan harian di kedudukan 10.7 batu nautika timur Tanjung Balau.

“Kapal tangki itu dikendalikan 23 kru warganegara India termasuk nakhoda berusia antara 21 hingga 63 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,

“Nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan di media sosial APMM.

Beliau berkata, kapal tersebut ditahan dan kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata APMM terus komited melaksanakan tugas di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang negara.

“Pengusaha atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh dari Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam melaksanakan sebarang aktiviti di perairan negara bagi mengelakkan sebarang tindakan lebih tegas diambil,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply