632
LANGKAWI 22 Mei – Sebanyak 136 buah kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV 4×4) Tarantula akan menjadi aset baharu Tentera Darat Malaysia apabila kontrak perolehannya dimeterai Kementerian Pertahanan (Mindef).
Mindef hari ini menandatangani surat hasrat (LOI) bernilai RM1.8 bilion kepada Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF).
Tempoh penghantaran kenderaan HMAV Tarantula dijangka selama 4 tahun dengan penghantaran secara berperingkat-peringkat.
Selain Tarantula, Mindef turut menganugerahkan LOI bernilai RM800 juta kepada Lumut Naval Shipyard (Lunas) bagi perolehan kelengkapan logistik untuk kapal tempur pesisir (LCS).
Seterusnya membekal 2 set pelancar Naval Strike Missile (NSM) bernilai RM44 juta.
Perolehan ini adalah sebahagian daripada pelbagai kontrak termasuk surat setuju terima (SST), surat hasrat (LOI) dan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai Mindef pada hari ketiga LIMA 2025.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, keseluruhan kontrak bernilai RM11 bilion melibatkan 40 kontrak atau SST, LOI (2) kepada syarikat-syarikat yang telah dianugerahkan kontrak perolehan oleh MINDEF dari penghujung tahun 2023 hingga kini.
Katanya, turut dimeterai ialah 6 MoU antara Mindef dan rakan strategik terpilih.
“Bagaimanapun, nilai keseluruhan kontrak juga adalah termasuk tambahan 45 lagi kontrak perolehan bernilai antara RM10 juta hingga RM30 juta yang telah ditandatangani sebelum ini.
“Mindef komited dalam memperkukuhkan pertahanan negara amnya dan Angkatan Tentera Malaysia melalui beberapa rundingan yang sedang berlangsung,” ujarnya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dan MoU tersebut.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar serta Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Peningkatan jumlah kontrak adalah sebanyak RM1 bilion berbanding LIMA 2023 iaitu RM10 bilion.
Turut dimeterai ialah kontrak sewaan 4 buah lagi helikopter Leonardo AW139 daripada Westar Aviation Sdn Bhd untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mindef juga membeli sebanyak 178 pelancar antinkereta kebal ringan dan 2 buah sistem radar pengawasan jarak jauh.
Di samping perolehan aset strategik pertahanan, turut dibandingkan ialah pembinaan Hospital
Angkatan Tentera (94 HAT) yang baharu di Kem Terendak, Melaka, bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang telah berusia lebih 50 tahun.
Hospital baharu ini dijangka menyediakan kemudahan serta peralatan perubatan terkini yang lebih moden dan berteknologi tinggi demi kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia.
Mengulas lanjut kata Mohamad Khaled, perolehan hari ini mempunyai beberapa matlamat yang ingin dicapai terutamanya daripada kepentingan pertahanan negara.
Katanya, ia bagi meningkatkan kesiapsiagaan aset untuk memperkukuhkan pertahanan wilayah.
“Rundingan ini adalah langkah penting dalam memperkukuh kesiagaan aset Tentera Darat Malaysia pada tahap maksimum serta menyokong pembangunan kapasiti pertahanan dan
pengukuhan keupayaan industri tempatan.
“Kontrak ini juga bagi mendokong peningkatan industri pertahanan tempatan yang benar-benar melaksanakan tanggungjawab mengendalikan dan bukan ejen.
“Semua kontrak yang dimeterai hari ini adalah dengan syarikat-syarikat tempatan yang berdaya saing dalam bidang masing-masing termasuklah selenggaraan,” ujarnya.
INFO KONTRAK UTAMA MINDEF PADA LIMA 2025
- LOI kepada Mildef International Technologies Sdn Bhd bagi permohonan perolehan 136 unit Kenderaan Perisai Jenis A (KJA) & Infrastruktur yang bernilai RM1.88 bilion.
- Penambahan 2 Long Range Radar (LRR) di Bukit Peteri, Terengganu dan Bukit Lunchu, Johor bernilai RM277 juta.
- Perolehan 178 buah Light Anti-Tank Weapon Reloadable (LATW) – Short Range bernilai RM49 juta
- Membekal dan menghantar 780 laras Light Anti-Tank Weapon (LAW) C90 bernilai RM35 juta
- Membekal dan menghantar 18 laras Mortar 81mm bernilai RM30 juta
- Pembekalan 2 set pelancar Naval Strike Missile (NSM) bernilai RM44 juta.
- Membekal dan menghantar 1,300 butir Rounds 84mm Recoilless High Explosive (HE) bernilai RM42 juta.
- Membekal dan menghantar 5,000 butir Mortar Bomb 60mm Illuminating IR kepada Tentera Darat bernilai RM34 juta
- Membekal dan menghantar 1,900 butir Mortar Bomb 120mm High Explosive (HE) kepada Tentera Darat bernilai RM34 juta;l
- Membekal dan menghantar peluru 5.56mm Ball bernilai RM32 juta
- Membekal dan menghantar 1,000 butir Rounds 125mm HEAT-SD-T” bernilai RM31 juta.