Home Pertahanan dan Keselamatan Raptai penuh Sambutan Hari Pahlawan 2024 berjalan lancar

Raptai penuh Sambutan Hari Pahlawan 2024 berjalan lancar

by Bernama

PUTRAJAYA, 29 Jul – Raptai penuh Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan 2024 anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berjalan lancar di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini, menjelang acara kemuncak pada Rabu.

Walaupun ditangguhkan kira-kira satu jam 15 minit kerana hujan lebat, kesemua anggota perbarisan tetap mengekalkan momentum dan semangat juang pahlawan untuk menyambung kembali perbarisan bagi memastikan istiadat tersebut berjalan lancar.

Dimulakan semula kira-kira 9.15 pagi, keseluruhan komposisi perbarisan terdiri daripada 18 pegawai dan 677 anggota lain-lain pangkat gabungan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Leftenan Kol Abang Raduan Abang Madihi dari TUDM, mengambil bahagian dalam istiadat perbarisan tahunan itu.

Perbarisan turut disertai Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadualkan menghadiri Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan 2024.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sambutan Hari Pahlawan adalah antara usaha dan keprihatinan kerajaan yang telah menetapkan satu hari yang khas bagi mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Ia disambut pada setiap 31 Julai sebagai memperingati perjuangan serta pengorbanan anggota keselamatan negara demi kemakmuran serta kedaulatan negara dan dianjurkan secara secara bergilir antara ATM dan PDRM sejak 1968.

Persembahan pantomim ‘Op Subuh’ dan deklamasi sajak ‘Jenalik Berdarah’, dijangka menarik perhatian pengunjung pada sambutan kali ini.

Dataran Pahlawan menjadi lokasi bagi istiadat itu sejak 2010.

Sebelum ini istiadat itu diadakan di Tugu Negara, Kuala Lumpur.-Bernama

#HariPahlawan #Malaysia #ATM #PDRM #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!