Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF salur bantuan pendidikan kepada 94 anak warga ATM

MINDEF salur bantuan pendidikan kepada 94 anak warga ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 JUN – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyalurkan bantuan pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Universiti Luar Negara (ULN) kepada 94 anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif tersebut merupakan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota ATM.

“Insentif dan bantuan seperti ini sebenarnya adalah satu bentuk penghargaan dan penzahiran ucapan terima kasih secara tidak langsung oleh Kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan atas pengorbanan dan jasa anggota ATM,

“Selain memastikan latihan yang mencukupi, aset yang moden dan terkini, serta aspek-aspek kebajikan atau kesejahteraan hidup para anggota ATM yang bersifat secara langsung, kita mesti turut menumpukan kepada aspek kesejahteraan yang bersifat tidak langsung seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Universiti Luar Negara Tahun 2024, di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, program dan insentif seperti ini akan menjadi tarikan kepada masyarakat di luar sana untuk menghormati dan menyertai ATM.

“Ini kerana, mereka dapat melihat bahawa ekosistem dan kualiti hidup anggota ATM adalah baik dan sentiasa diberikan perhatian,

“Khususnya dalam aspek pendidikan anak-anak anggota ATM, sama ada dari peringkat rendah, sekolah menengah atau pun pendidikan tinggi,” jelasnya lagi.

Tambahnya, dengan memberi fokus kepada usaha melahirkan generasi masa hadapan yang pintar, program seperti ini juga akan membantu pembangunan dan kemajuan negara.

“Secara tidak langsung, perkara tersebut sebenarnya akan turut menyumbang kepada keutuhan pertahanan negara,

“Ini kerana, apabila generasi masa hadapan adalah mereka yang berpendidikan tinggi, pintar dan berilmu, adalah lebih mudah untuk kita meneruskan agenda pertahanan dan kedaulatan negara,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 94 pelajar telah menerima insentif bagi kategori IPTA dan ULN.

Bagi kategori IPTA, seramai 84 telah menerima insentif berjumlah RM1,000 dan seramai 10 pelajar telah menerima insentif berjumlah RM2,000 setiap seorang.

MINDEF dalam satu kenyataan memaklumkan, sejak tahun 2001 hingga 2023, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) telah menyalurkan sumbangan kepada anak-anak ATM yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA dan ULN sebanyak RM2,369,000 kepada 2,247 pelajar.

Pemberian ini merupakan salah satu komitmen YLTAT dalam merealisasikan pelaksanaan dan hala tuju Kertas Putih Pertahanan (KPP) khususnya dalam memastikan hala tuju pendidikan anak-anak warga ATM terjamin menerusi program-program sedia ada yang ditawarkan.-airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Mindef

Related Articles

Leave a Reply