Home Pertahanan dan Keselamatan 2 buah vesel bersauh secara haram ditahan

2 buah vesel bersauh secara haram ditahan

by Muaz Rizqi

KOTA TINGGI, 14 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Tanjung Sedili telah menahan 2 buah vesel kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur semalam.

Pemangku Pengarah APMM Tanjung Sedili, Komander APMM Mohd Najib Sam berkata, kapal pengangkut ditahan bot ronda APMM pada jam 1.00 petang di kedudukan 23.9 batu nautika timur laut Tanjung Siang setelah pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh ketika diperiksa.

“Kapal pengangkut tanpa muatan berdaftar dari Hong Kong tersebut dikendalikan 19 kru lelaki termasuk nakhoda warga Filipina dan China berusia 25 hingga 53 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,

“Manakala vesel kedua merupakan kapal tangki pula ditahan kapal ronda APMM di kedudukan 31 batu nautika timur laut Tanjung Gemoh pada jam 4.10 petang kerana didapati melakukan kesalahan yang sama iaitu gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh ketika diperiksa.” Katanya dalam kenyataan.

Kapal tangki yang berdaftar dari Panama itu ditahan di kedudukan 31 batu nautika timur laut Tanjung Gemoh

Mohd Najib berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Panama itu dikendalikan 25 kru lelaki termasuk nakhoda warga Ukraine, Pakistan, Iran, Georgia, India, Filipina dan Russia berumur lingkungan 27 hingga 53 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran / kelulusan Ketua Pengarah Laut Malaysia yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama beliau berkata, pihaknya menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply