Home PolitikBarisan Nasional PRU15 boleh diadakan sebelum pertengahan November – Ahmad Maslan

PRU15 boleh diadakan sebelum pertengahan November – Ahmad Maslan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berpendapat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh diadakan sebelum pertengahan November, iaitu sebelum menjelangnya musim banjir atau musim tengkujuh.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, partinya menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU15.

Beliau berkata, Mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah membuat ketetapan mengenai beberapa isu berkaitan dengan gerak kerja dan persiapan jentera menghadapi PRU15 setelah Parlimen dengan rasminya dibubarkan.

“UMNO menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Baginda untuk membubarkan Parlimen selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan,

“UMNO menghormati titah Tuanku bahkan berpendirian serupa bahawa negara tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam keadaan politik yang tidak menentu bahkan perlu mengembalikan mandat kepada rakyat untuk mereka memilih sebuah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Isnin.

Menurutnya, UMNO berpendirian pembubaran Parlimen adalah merupakan jalan terbaik memandangkan wakil parti-parti yang membentuk kerajaan campuran sebelum ini makin jelas tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri dalam mentadbir negara.

“Malah mengisytiharkan UMNO dan BN sebagai musuh utama hanya lebih menzahirkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada UMNO yang menerajui Kerajaan,” ujarnya.

Tambahnya, mesyuarat juga bersetuju agar ‘Kestabilan Dan Kemakmuran’ menjadi tema utama manifesto bagi PRU15.

“Tema seumpama ini telah digunakan sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.  Ianya akan diangkat untuk persetujuan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN),” jelasnya.

Pada masa sama, Ahmad berkata, tarikh baru Perhimpunan Agung UMNO yang sebelum ini ditentukan pada 23 hingga 26 November ini akan diubah kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply